
Penyanyi Kaka Azraff tampil menjelaskan mengenai beberapa hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads dan dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan peribadinya.
Menurut Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, dia kini enggan lagi berselindung mengenai apa yang dirasai, sebaliknya memilih untuk bersikap jujur terhadap dirinya sendiri.
“Saya memilih untuk berkongsi hantaran-hantaran itu di aplikasi Threads kerana merasakan saya kini sudah sampai ke fasa untuk tidak mahu lagi berselindung.
“Saya mahu menjadi jujur. Sebenarnya, saya bukan nak mengaibkan sesiapa. Ia lebih kepada perkongsian dan menjadi jujur dengan diri sendiri,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Bukan Hal Aku itu berkata demikian ketika ditemui pada acara pertunjukan fesyen Neonate di Kuala Lumpur Fashion Week 2026 (KLFW2026) yang berlangsung di KLCC pada Ahad.
Tambah Kaka, perkongsian tersebut turut membuatkan dirinya sedar bahawa ramai wanita lain sebenarnya berdepan dengan ujian yang lebih berat dalam kehidupan masing-masing.
“Saya juga mahu memberikan kekuatan kepada para wanita di luar sana yang melalui situasi sama atau lebih teruk daripada saya.
“Bila saya berkongsi hantaran-hantaran itu, saya nampak komen-komen balas daripada netizen. Rupanya bukan kita sahaja yang susah. Ada orang lebih susah daripada kita.
“Saya hanya mahu memberikan semangat dan berharap ia dapat membuka perjalanan hidup yang baharu buat mereka di luar sana.
“Jangan takut dan biarkan orang buli kita. Kita kena bangun untuk diri sendiri,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Kaka berkata kehadiran anak-anak menjadi sumber kekuatan utama buat dirinya untuk terus melangkah selepas melalui pelbagai fasa dalam kehidupan.
“Saya menemui kekuatan menerusi anak-anak. Mereka yang beri kekuatan kepada saya. Selepas apa yang saya lalui dalam hidup, ada banyak lagi fasa yang perlu saya lalui.
“Namun, saya yakin hal ini akan mendewasakan, mematangkan dan menguatkan kita,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Kaka turut berkongsi mengenai single terbaharunya berjudul Berubah yang baru sahaja dilancarkan dan kini boleh didengarkan di semua platform digital.
Menurut Kaka, muzik video lagu berkenaan cukup dekat dengan dirinya kerana ia dihasilkan berdasarkan pengalaman serta emosi yang dilaluinya sendiri.
“Saya baru sahaja melancarkan muzik video untuk lagu terbaharu berjudul Berubah. Ia kini sudah berada di seluruh platform digital. Muzik video itu sangat peribadi buat saya kerana saya menjayakannya sendiri bersama pasukan saya.
“Lirik lagu ini ditulis oleh saya sendiri bersama Yonnyboii. Lagu itu ditulis saat saya berada di fasa terendah. Ia datang daripada hati dan sangat ikhlas,” kongsinya lagi.
Baru-baru ini, beberapa hantaran Kaka di Threads nyata menarik perhatian seterusnya mengundang tanda tanya dalam kalangan netizen.
Terdahulu, Kaka dan suaminya, Adam Azriff sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Jun lalu.
Untuk rekod, Kaka pernah bercerai pada Oktober 2024 tetapi kembali rujuk pada awal 2025 semasa tempoh idah.
Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aslan, Aryan dan Atta Adam.