Pelakon popular Bollywood, Kajol mencetuskan kontroversi apabila menunjukkan rasa kurang senang terhadap permintaan seorang wartawan untuk bercakap dalam bahasa Hindi sewaktu menghadiri acara Anugerah Filem Negeri Maharashtra 2025 di Mumbai, baru-baru ini.
Dalam satu klip video yang kini tular di media sosial, bintang filem Dilwale Dulhania Le Jayenge itu dilihat menjawab soalan media dalam bahasa Marathi dan Inggeris.
Namun, apabila diminta oleh seorang wartawan supaya mengulang jawapan dalam bahasa Hindi, Kajol secara spontan membalas dengan nada tegas seperti kurang senang dengan soalan tersebut.
Ads
“Haruskah saya bercakap dalam Hindi sekarang? Siapa yang nak faham, dia akan faham sendiri,” ujarnya membalas permintaan wartawan itu.
Reaksi pelakon berkenaan telah mencetuskan pelbagai pandangan daripada netizen, termasuk kritikan yang menyifatkan tindakan Kajol sebagai angkuh dan tidak sensitif terhadap penonton Hindi yang menjadi majoriti dalam industri Bollywood.
Namun begitu, ada juga yang tampil mempertahankan dan memuji Kajol kerana mempertahankan penggunaan bahasa Marathi sebagai bahasa rasmi negeri tersebut, khususnya dalam sebuah majlis anugerah peringkat negeri yang mana bahasa ibunda negeri tersebut adalah bahasa Marathi.
Ads
Kajol, yang kini berusia 50 tahun, belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung insiden berkenaan setakat ini.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Ina Naim menzahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan Astro kepada anaknya, Ehmad Hadie, untuk menyertai program realiti baharu, Talk To My Manager.
Menurut Ina, ini merupakan detik terbaik untuk Hadie memulakan perjalanan sebagai penyanyi muda.
“Pertama sekali, saya rasa sangat bersyukur kerana pihak Astro memberikan peluang ini kepada anak kami. Hadie hanya anak biasa sahaja.
“Mungkin yang menggerakkan hati mereka untuk memilih Hadie adalah Allah SWT. Saya anggap peluang ini sebagai sesuatu yang baik buat Hadie.
“Lagipun Hadie merupakan pelajar ‘home schooling’ sepenuh masa. Jadi, saya mahu memberikannya pendedahan tentang dunia luar di program ini,” katanya kepada MH.
Ina berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Talk To My Manager yang berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam pada itu, Ina turut berkongsi, arwah suaminya, penyanyi Allahyarham Suhaimi Saad, pernah menerima tawaran serupa daripada pihak Astro, namun terpaksa menolaknya kerana beberapa kekangan.
“Saya mahu Hadie mengambil semangat arwah bapanya. Sebelum ini, arwah Suhaimi pernah menerima tawaran seperti ini daripada pihak Astro.
“Namun, disebabkan masalah kesihatan dan kami tinggal jauh, arwah terpaksa tolak. Kini, Allah datangkan anak pula untuk meneruskan harapan itu. Jadi, kita terima peluang itu.
“Mungkin bila menyanyi di pentas ini nanti, Hadi akan ingat ayahnya juga pernah terima peluang seperti ini. Jadi, saya minta dia buat yang terbaik,” ujarnya.
Mengikut jejak langkah arwah bapanya, Hadie mengakui sudah mula menyanyi sejak usia lima tahun dan telah merakamkan album bersama arwah Suhaimi.
“Saya mula menyanyi sejak umur lima tahun. Arwah ayah memang selalu bawa saya pergi ke jemputan persembahan. Dari situ, saya dapat melihat sedikit sebanyak cara ayah saya menyanyi.
“Saya juga selalu menyanyikan lagu arwah ayah. Jadi, arwah nampak saya ada bakat dalam dunia nyanyian. Ayah juga pernah buatkan album untuk saya.
“Kini, saya hanya mahu harumkan nama ibu dan ayah dan meneruskan perjuangan beliau,” katanya.
Dalam masa sama, Ina turut menyatakan kesediaannya untuk berdepan dengan cabaran dan kecaman apabila program tersebut mula bersiaran kelak.
“Itulah hikmah yang kami terima sepanjang mengadakan sesi siaran langsung di Tik Tok. Segala kecaman dan hinaan, kami sudah boleh hadap. Itu yang Allah bagi sejak mula lagi.
“Mungkin apa yang akan berlaku di tv nanti, biasa sahaja buat kami. Insha-Allah segalanya boleh dikawal berbanding dengan komen-komen di media sosial. Kami tetap kena kental,” akhirinya.
Selain Hadie, Talk To My Manager turut menampilkan anak-anak selebriti lain seperti Thalita (Shuib), Auddra (Sharifah Shahirah), Ammar (Ameng), Marsya (Liza Hanim), Amad (Siti Saerah), Athalia (Sharifah Zarina) dan Ara Aziz (Aziz M. Osman).
Dalam format program ini, ibu atau bapa masing-masing akan bertindak sebagai pengurus kepada anak-anak mereka sepanjang pertandingan berlangsung.
Talk To My Manager akan dihoskan oleh pengacara tersohor Datuk Aznil Hj. Nawawi, manakala Datuk AC Mizal dan Che Puan Sarimah Ibrahim pula menggalas peranan sebagai juri tetap.
Program ini akan mula bersiaran pada setiap Ahad, bermula 24 Ogos ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria, dan turut boleh distrim melalui Astro Go serta sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Meskipun nama Daniel Cheang belum begitu hangat dalam radar arus perdana, personaliti serba boleh ini sebenarnya sudah membina tapak kukuh dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa.
Berpengalaman luas sebagai hos pelbagai program TV, penyampai radio serta pengacara temu bual bersama selebriti antarabangsa, Daniel membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya hadir dengan sorakan gemuruh atau pengiktirafan besar-besaran.
Konsistensi dan usaha berterusan menjadi asas utama kerjayanya yang kian matang dan Daniel baru-baru ini tampil berkongsi sisi peribadinya dalam satu sesi khas bersama Dr Healing.
Dalam pertemuan itu, dia membuka kisah perjalanan kariernya yang penuh warna iaitu daripada jatuh bangun dalam dunia penyiaran sehinggalah kepada peluang yang membawanya ke pentas antarabangsa.
“Saya sentiasa berfikir ke hadapan. Mungkin market saya lebih sesuai di luar negara, tapi saya tetap bersyukur kerana masih ada rezeki dan peluang di tanah air sendiri,” jelasnya.
Selain bidang penyiaran, Daniel turut pernah mencuba dunia lakonan menerusi drama siri Astro Gempak bertajuk Imperfect, kemunculan sebagai cameo dalam filem Polis Evo 2, serta beberapa drama tempatan lain.
Bagi Daniel, tidak wujud istilah terlalu kecil dalam mana-mana peranan, kerana setiap peluang adalah ruang untuk belajar dan berkembang.
Tambah Daniel, dia baru sahaja selesai menjadi pengacara belakang tabir rancangan Raise The Star Malaysia.
Berbicara lebih lanjut, Daniel memberitahu dia akan terus komited dengan siri temu bual antarabangsa seperti tahun-tahun sebelum ini, di samping peranan tetapnya di radio.
Jelasnya lagi, beberapa lagi program televisyen baharu dijangka menyusul, namun masih belum boleh diumumkan secara rasmi.
Daniel juga menyatakan keterbukaannya untuk kembali ke set lakonan sekiranya ada peluang yang sesuai.
Dalam sesi hampir sejam bersama Dr Healing, Daniel diperkenalkan dengan teknik Centre of Excellence (COE) untuk penyembuhan, pendekatan daripada Neuro Linguistic Programming (NLP) yang membantu seseorang mencapai semula keadaan mental, emosi dan fizikal terbaik mereka, atau lebih dikenali sebagai state of excellence.
Teknik ini sering digunakan apabila seseorang berdepan rasa kecewa, hilang keyakinan atau apabila impian yang diusahakan belum tercapai.
Melalui gabungan visualisasi, sambungan emosi dan penetapan anchor, COE membolehkan seseorang mengaktifkan semula keyakinan serta memindahkan tenaga positif itu ke dalam usaha masa kini.
Sepanjang perbualan, jelas terpancar ketenangan Daniel yang kini lebih terbuka dalam berkongsi pandangannya mengenai industri hiburan, kesihatan mental dan peranan sebagai figura awam.
Dia percaya bahawa menjadi relevan bukan bergantung kepada kemunculan berlebihan, tetapi kepada nilai yang dibawa dalam setiap langkah.
Perjalanan Daniel bukanlah satu kisah biasa. Ia adalah kisah tentang keyakinan diri, kesabaran dan semangat untuk terus mencipta ruang sendiri walaupun tanpa sorotan utama.
“Kadang-kadang, orang hanya nampak apa yang viral. Tapi saya percaya, perkara yang bertahan lama datang daripada asas yang jujur dan konsisten,” katanya.
Teknik COE yang dikongsikan dalam sesi itu menjadi simbolik kepada bagaimana seseorang boleh bangkit semula yang bukan melalui populariti segera, tetapi dengan menyambung semula kepercayaan terhadap diri sendiri.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dunia hiburan Indonesia kehilangan seorang bintang apabila bekas penyanyi cilik terkenal, Santi Sardi, menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat, 8 Ogos 2025. Allahyarhamah meninggal dunia pada jam 3.21 petang waktu tempatan di Rumah Sakit Kramat 128, Jakarta Pusat, pada usia 56 tahun.
Santi Sardi yang juga kakak kepada pelakon terkenal, Lukman Sardi, pernah mencipta fenomena pada era 1970-an menerusi lagu popular “Menabung” ciptaan komposer tersohor, Titiek Puspa. Kejayaan tersebut menjadikan namanya terpahat sebagai salah seorang artis cilik paling dikenali pada zamannya.
Selain bergelar penyanyi, Santi turut mencuba nasib dalam dunia perfileman dan membintangi beberapa karya terkenal seperti Melawan Badai (1974), Senyum Pagi di Bulan Disember (1974), Selalu di Hatiku (1975) serta Senyum Untuk Mama (1980).
Karier seninya yang merangkumi nyanyian dan lakonan menjadikan beliau figura versatil yang diminati ramai sehingga merangkul Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Indonesia 1975 menerusi lakonannnya dalam filem Senyum Pagi di Bulan Disember.
Menurut Lukman, kakaknya itu telah lama berdepan masalah kesihatan termasuk ketumbuhan pada rahim atau fibroid rahim (uterine fibroid). Keadaan kesihatan Allahyarhamah dilaporkan sering turun naik sehingga ke akhir hayatnya.
Sedih dengan pemergian kakaknya, Lukman Sardi memuat naik gambar kenangan di Instagram dengan kata-kata yang menyentuh hati.
“Hi Kak… tugas Kak Santi sudah selesai di dunia ini… walaupun rasa kehilangan ini begitu besar, tetapi yang penting Kak Santi sudah tidak sakit lagi… Kami semua akan sentiasa merindui Kak Santi.
“Kini Kak Santi sudah tenang dalam kedamaian abadi. Rehatlah dengan penuh kasih sayang, Kak, dan sampaikan pelukan erat buat papa ya… sayang banyak pada Kak,” tulis Lukman.
Jenazah Allahyarhamah disemayamkan di rumah duka di Depok sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Umum Menteng Pulo, Jakarta, pada pagi Sabtu, 9 Ogos 2025. Pemergian Santi Sardi meninggalkan memori indah dalam industri seni Indonesia, khususnya bagi peminat muzik dan filem era 1970-an yang membesar dengan karya beliau.
Sekadar info, bapa kepada Santi Sardi dan Lukman Sardi ialah Idris Sardi, seorang pemain biola legenda Indonesia yang sangat disegani dalam dunia muzik Nusantara.
Idris Sardi terkenal sebagai pemusik dan komposer, pernah mengiringi ramai penyanyi besar Indonesia serta menghasilkan pelbagai karya muzik filem. Beliau meninggal dunia pada tahun 2014.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!