
Sokongan daripada barisan selebriti terkenal tanah air menjadi pembuka tirai kemeriahan bufet Ramadan anjuran Hotel Tenera & Suites pada 24 Februari lalu.
Antara yang hadir memeriahkan majlis ialah Datin Alyah, Baby Shima, Zaki Yamani dan Adam AF. Malah ada di antara mereka yang sudi membuat persembahan, menghiburkan tetamu.
Malah kehadiran mereka bukan sekadar meraikan juadah berbuka puasa, sebaliknya bagi menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan konsep Environmental, Social and Governance (ESG) yang diperkenalkan hotel berkenaan sepanjang Ramadan ini.
Bagi Baby Shima, dia menyokong penuh inisiatif ESG yang dilaksanakan demi kebaikan semua pihak.
“Saya rasa usaha sebegini sangat bagus kerana dalam bulan Ramadan, kita memang kena lebih sedar tentang pembaziran makanan.
“Kadang-kadang kita ambil lebih daripada yang mampu dihabiskan. Bila hotel sendiri ambil langkah untuk kawal dan didik pelanggan, itu sesuatu yang patut dipuji dan dicontohi.
“Pendekatan ESG yang diperkenalkan Hotel Tenera dalam bufet Ramadan tahun ini membuktikan bahawa kemeriahan berbuka puasa boleh diraikan tanpa mengorbankan kelestarian alam,” katanya.
Sementara itu, Datin Alyah turut menyifatkan pelaksanaan ESG sebagai langkah progresif dalam industri perhotelan.
“Saya percaya kesedaran tentang kelestarian alam perlu bermula dari semua pihak termasuk industri hospitaliti.
“Apa yang dilakukan ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar, tetapi juga mendidik masyarakat supaya lebih berhemah ketika berbuka puasa,” ujarnya.
Menurut Pengurus Besar Hotel Tenera & Suites, Fadzly Hamzah, penglibatan selebriti memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Alhamdulillah, ramai artis turut hadir meraikan bufet Ramadan kami untuk menyokong pelaksanaan ESG yang kami buat.
“Penglibatan selebriti ini penting kerana ia boleh meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih peka terhadap amalan pengambilan makanan secara sederhana dan bertanggungjawab.
“Bukan itu sahaja, menerusi sokongan artis, masyarakat lebih terbuka melihat Hotel Tenera sebagai organisasi yang bukan sahaja mementingkan keuntungan, tetapi turut menitikberatkan kesejahteraan komuniti dan alam sekitar,” katanya.

Angkat Konsep Serantau Desa Dengan Prinsip Sifar Pembaziran
Bersempena Ramadan tahun ini, Hotel Tenera & Suites turut tampil dengan pendekatan berbeza apabila melaksanakan konsep ESG dalam penganjuran bufet Ramadan mereka, sekali gus menegaskan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar serta tanggungjawab sosial.
Mengangkat konsep Serantau Desa, Citarasa Mendunia, bufet Ramadan kali ini mengetengahkan hidangan tradisional dari Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Dalam masa sama, pihak hotel juga menekankan prinsip sifar pembaziran sepanjang bulan mulia ini sebagai selari dengan nilai kesederhanaan dan keprihatinan yang dituntut Ramadan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk kawalan penyediaan makanan secara berperingkat, pengurusan sisa makanan yang lebih sistematik, penggunaan bahan mesra alam serta galakan kepada tetamu agar mengambil makanan secara berhemah.
Dari segi sajian, tetamu dihidangkan dengan pelbagai menu istimewa seperti Dhalca Lutut Kambing, Gulai Kawah Raja Berangkat, Lidah Bakar, Sup Gear Box, Gulai Padang Urat Kering, Pecel Sayur serta Nasi Khao Mok Kambing Panggang dan banyak lagi.
Secara keseluruhan, konsep Serantau Desa, Citarasa Mendunia ini melengkapkan pendekatan ESG yang dibawa, apabila hidangan disediakan secara terkawal bagi mengelakkan pembaziran tanpa menjejaskan variasi menu yang memikat selera.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




