
Ibu kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, Siti Hafizah Sheikh Mohamad, menzahirkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran cucunya, Ayden Adrean yang ke-9 pada 8 Julai lalu.
Menurut Hafizah, meskipun sudah lama tidak bertemu, dia dan seluruh ahli keluarga tidak pernah melupakan Ayden serta adiknya, Ara Adreanna.
“MasyaAllah, satu lagi tahun sudah berlalu. Selamat hari lahir cucu kesayangan saya Ayden Adrean.
“Umi Wan, Tok Ayah, daddy dan ibu saudara awak tidak pernah sesekali melupakan kamu sayang,” tulisnya.
Ucapan menyentuh hati itu dikongsikan Hafizah menerusi hantaran di Instagram Stories. Pada masa sama, beliau memaklumkan masih menyimpan rapi foto dan video terakhir Ayden yang dirakam tiga tahun lalu.
“Ini adalah gambar dan video terakhir kamu yang kami ada sejak tiga tahun lepas. Saya simpan dengan baik.
“Kami sentiasa mendoakan kebahagiaan Ayden dari jauh. Semoga membesar dengan iman dan taqwa pada Allah serta menjadi anak yang soleh dan khalifah yang terhebat,” kongsinya lagi.
Hafizah turut meluahkan harapan agar dapat dipertemukan semula dengan cucu-cucunya suatu hari nanti.
“Jika kita tidak berpeluang bertemu lagi di dunia ini, insya-Allah kita akan dipertemukan semula di akhirat dengan rahmat Allah.
“Kami semua menyayangimu kerana Allah. Alhamdulillah,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Bella dan Aliff Aziz mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 sebelum berpisah pada 13 Jun 2024. Pasangan itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.