
Pelakon Ezzaty Abdullah menyifatkan pengalamannya menjayakan iklan raya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjudul ‘Janji Ibu’ sedikit sebanyak telah membuka matanya tentang kepentingan perlindungan sosial dalam masyarakat.
Membawakan watak sebagai Mawar, Ezzaty berkongsi kisah ketabahan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penghantar makanan demi kelangsungan hidup bersama dua anak.
Selami Watak & Realiti Kehidupan
“Saya pegang watak Mawar dalam projek ini. Dia seorang ibu tunggal yang menyara dua orang anak.
“Malah dia seorang yang suka membantu orang lain sehingga dia tak perlukan bantuan sesiapa padahal dirinya yang paling memerlukan pertolongan,” katanya.
Bercerita mengenai pengalaman melakonka iklan istimewa itu, Ezzaty optimis melakukan sendiri aksi menunggang motosikal, lalu mengakui pengalaman tersebut membantunya menyelami kepayahan sebenar seorang ‘rider’ yang terdedah kepada risiko di jalan raya.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini turut berkongsi pengalamannya menyaksikan kemalangan seorang penunggang motosikal yang membuatkan diri terfikir tentang nasib keluarga mangsa.
“Saya pernah nampak penunggang motosikal alami kemalangan. Kalau tengok dekat media sosial ada yang bersusah payah nak menyara keluarga.
“Jadi, apabila saya melihat mangsa tersebut, ia buatkan saya terfikir apa yang jadi pada keluarga sebab mungkin dia juga mungkin seorang ayah, anak lelaki atau abang,” ujarnya lagi.

Tanggungjawab Majikan & Mesej Sosial
Sementara itu, Ezzaty yang juga usahawan, turut memastikan setiap pekerja perniagaan tepung kek yang diusahakan mempunyai caruman PERKESO yang dibayar.
“Perniagaan saya pun ada tiga orang pekerja dan saya akan memastikan mereka dicarum.
“Sebagai majikan kita bertanggungjawab menyediakan payung sebelum hujan supaya kalau ada apa-apa berlaku pada masa akan datang, kita akan lebih bersedia,” jelasnya.
Selain Ezzaty, Syafie Naswip dan Umar Shakur turut membintangi iklan tersebut.
Melalui iklan berkenaan, PERKESO membawakan pendekatan penceritaan yang lebih dekat dengan nadi kehidupan masyarakat.
Iklan ini menekankan kepentingan perlindungan sosial dalam menjamin keutuhan sesebuah institusi keluarga sekali gus mengangkat martabat golongan pekerja gig dan wanita sebagai tunjang utama keluarga.
Nantikan iklan raya PERKESO yang akan menemui penonton Mac ini.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




