Berita

“Janganlah Simpati Sangat Dengan Takdir Orang TTC Macam Saya,”- Janna Nick

Share

Pelakon dan pengacara Janna Nick memohon orang ramai agar tidak terlalu menzahirkan rasa simpati terhadap dirinya dan suami, Dini Schatzmann, meskipun mereka masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.

Menurut Janna, dia tidak menganggap perjalanan mendapatkan zuriat sebagai sesuatu yang perlu diratapi, sebaliknya menerima segala ketentuan yang telah ditetapkan Allah SWT dengan hati terbuka.

“Kalian janganlah simpati sangat dengan takdir orang TTC macam saya ini. Saya okay sahaja.

“Saya reda dengan ketentuan Allah SWT dan saya yakin dengan perancangan-Nya. Dia tahu apa yang terbaik buat kami,” tulisnya.

Terima Setiap Perasaan Yang Hadir

Perkara itu dikongsikan oleh bekas pengacara program Melodi itu menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.

Malah, Janna turut merasakan perasaan sedih yang hadir sesekali merupakan sesuatu yang normal dan tidak dapat dielakkan sepanjang melalui fasa tersebut.

Katanya, ada ketika emosi berkenaan datang tanpa diduga dan sukar untuk dikawal, namun dia memilih untuk menerima setiap perasaan yang hadir dengan tenang.

“Sedih sikit-sikit tu biasalah. Ada momen-momen macam tu yang datang dan pergi.

“Kadang-kadang memang tak boleh nak control,” kongsinya lagi.

Tetap Bahagia Menjalani Kehidupan Berdua

Dalam masa sama, Janna turut memaklumkan dirinya tetap bahagia menjalani kehidupan bersama suami, selain menikmati sisi kehidupan berdua yang dianggapnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Hidup berdua je pun tiadalah sendu sangat.
Bosan-bosan, boleh travel tanpa fikir cuti sekolah anak.

“Tapi sejujurnya, saya okay,” ujarnya.

Sekadar informasi, Janna dan Dini Schatzmann mendirikan rumah tangga pada Jun 2023.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf