
Penyanyi Haqiem Rusli berpandangan peminat tidak seharusnya berhenti memberikan sokongan kepada artis kesayangan mereka hanya kerana selebriti tersebut memilih untuk mendirikan rumah tangga.
Menurut Haqiem, perubahan sokongan daripada peminat selepas seseorang artis berkahwin dirasakan sebagai lumrah dalam industri hiburan.
Bagaimanapun, perkara itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk terus meminggirkan karya yang dihasilkan.
“Pada saya, itu lumrah sebagai seorang penyanyi. Bila berkahwin, peminatnya akan berkurang sedikit. Namun, jika anda betul-betul minat dan ikut perkembangan artis itu, sokonglah kerana karyanya.
“Jangan disebabkan saya sudah berkahwin, anda sudah tidak minat lagi. Tak baguslah macam itu,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Sangkar Derita itu berkata demikian ketika ditemui pada Konsert Soundstage, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Haqiem mendedahkan dia sebenarnya sudah menjangkakan situasi tersebut sejak sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Malah, dia yang mendirikan rumah tangga ketika berada di puncak populariti selepas memenangi Anugerah Bintang Popular tetap yakin dengan perancangan yang telah ditentukan Allah SWT.
“Sebelum berkahwin, saya sudah meramalkan situasi ini.
“Saya pula berkahwin selepas memenangi Anugerah Bintang Popular. Mungkin ramai yang tak bersetuju. Ada yang bertanya kenapa kahwin ketika tengah peak?
“Jawapan saya, saya percaya rezeki Allah. Selepas kahwin, jika nama kita naik atau turun, itu semua takdir Allah. Kahwin itu sayu perkara yang baik,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, Haqiem dan isterinya, Anis Sofea, mendirikan rumah tangga pada 19 November 2021.
Dalam perkembangan sama, Haqiem turut berkongsi cerita mengenai momen tular ketika dia menyampaikan lagu Risk It All nyanyian asal Bruno Mars yang didedikasikan khas buat isterinya pada Konsert Soundstage.
Ketika persembahan tersebut, Anis dilihat tidak dapat menahan sebak saat menghayati nyanyian suaminya itu.
“Pada mulanya, saya hanya mahu mendedikasikan lagu itu khas buat isteri saya yang pada mulanya ada di tepi pentas. Namun, saya mahu nampak momen itu lebih ‘wow’.
“Jadi, saya bawa dia ke atas pentas. Dia memang tak tahu. Pada mulanya, dia datang hari ini untuk rakam video di sebalik tabir.
“Katanya ketika ini, dia tidak mahu duduk di hadapan lagi. Dia mahu ikut perjalanan seni suaminya. Momen itu sangat best. Segala yang berlaku itu adalah spontan.
“Ketika itu, saya pun sedang tahan menangis. Kalau saya menangis, high note itu pasti tidak akan sampai,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini