
Selepas sembilan minggu bersaing, teka-teki mengenai siapakah pasangan artis dan pengurus yang berjaya melangkah ke konsert Grand Finale Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) akhirnya terjawab.
Konsert Grand Finale TTMM2 bakal menyaksikan persaingan sengit melibatkan lima pasangan artis dan pengurus yang akan berentap bagi merebut gelaran juara, sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000 serta kontrak rakaman bernilai RM50,000.
Pasangan Jamilul Hayat dan Hussain sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya merampas semula kedudukan pertama pada saingan separuh akhir.
Bukan itu sahaja, Jamilul Hayat turut mencipta sensasi apabila dinobatkan sebagai pemenang Manager Paling Perform buat minggu keempat berturut-turut.
Malah, saingan separuh akhir TTMM2 kali ini menjadi malam yang cukup bermakna buat pasangan anak beranak tersebut apabila mereka turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie.
Jamilul Hayat dan Hussain membawa pulang wang tunai RM5,000 menerusi kemenangan itu sebelum pihak penaja mengambil keputusan untuk memberikan insentif tambahan sebanyak RM5,000 sebagai persediaan menjelang konsert Grand Finale minggu hadapan.
Empat lagi pasangan yang berjaya menempah tempat ke Grand Finale TTMM2 ialah Azeva (Datuk A. Aida), Anggrek (Adira Suhaimi), Kim Khairii (Safura Yaacob) dan Cik B (Datuk Seri Vida).
Bagaimanapun, hasrat penyanyi remaja, Amarra bersama pengurusnya, Azad Jazmin untuk melangkah ke pentas Grand Finale tidak kesampaian apabila mereka diumumkan sebagai pasangan yang tersingkir pada malam Ahad.
Persembahan Amarra menerusi lagu Intan Payung serta tugasan berkumpulan gagal menambat hati barisan juri, sekali gus menyaksikan mereka meraih markah keseluruhan paling rendah.
TTMM2 dikendalikan oleh pengacara legenda Aznil Nawawi bersama dua juri tetap iaitu Sarimah Ibrahim dan AC Mizal.
Turut hadir sebagai juri jemputan pada minggu ini ialah penyanyi terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim dan Noryn Aziz.
Setiap pasangan pengurus dan artis dinilai secara keseluruhan dengan pecahan markah sebanyak 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis.
Saksikan Talk To My Manager 2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), yang bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA.
Program ini juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini