Berita

Isteri Rody Kristal Umum Hamil Lagi, Panjat Doa Moga Kandungan Selamat – “Alhamdulillah, Kesebelasan Utama Kami Semakin Bertambah.”

Share

Isteri kepada gitaris Kristal, Rody, iaitu Niena Azman berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan kehamilan cahaya mata keempat.

Menurut bekas penjaga gol skuad futsal wanita Kebangsaan itu, kehamilan kali ini hadir tanpa diduga namun dia dan suami tidak sabar menantikan kehadiran ahli keluarga baharu mereka.

“Jendela perpindahan kini secara rasmi telah dibuka. Ada ‘signing’ yang tak dijangka tapi sudah pun diluluskan oleh Allah.

“Baby D bakal menyertai skuad tidak lama lagi. Alhamdulillah, kesebelasan utama kami kini semakin bertambah,” tulisnya.

Perkongsian tersebut dimuat naik menerusi satu hantaran di Instagram pada petang Rabu.

Anak-Anak Masih Berteka-Teki

Dalam pada itu, Niena turut berkongsi reaksi kedua-dua anaknya yang masih belum mengetahui tentang kehamilan tersebut.

“Abang dan adik masih tertanya-tanya kenapa perut mommy besar? Mereka tanya ada baby ke? Biarlah mereka terus berteka-teki,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, Niena turut memanjatkan doa agar kandungannya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan dipermudahkan segala urusan sehingga tiba waktu kelahiran.

“Ya Allah, jagalah amanah kecil ini dalam rahimku. Kurniakan kesihatan, lindungan dan kasih sayang-Mu sepanjang perjalanan ini. Permudahkan setiap langkah hingga kami selamat bertemu. Amin,” pintanya.

Untuk rekod, Niena dan Rody mendirikan rumah tangga pada 27 April 2018.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata, Adithya Jabbar, Barie Habibullah dan Carliff Fhaitullah.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Niena Azman

Published by
Aizam Manaf