
Pentas akhir Gegar Vaganza Musim Ke-12 (GV12) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila Iskandar Ismail diumumkan sebagai Juara Gegar Vaganza 12, menewaskan barisan finalis lain dalam persaingan sengit yang berlangsung dengan penuh emosi serta persembahan berkualiti tinggi.
Kejayaan Iskandar Ismail malam tadi membuktikan keunggulan vokal, konsistensi dan kematangannya sepanjang musim pertandingan ini. Sebagai juara, Iskandar membawa pulang wang tunai RM100,000 sumbangan Astro, Set Ruang Tamu tajaan Empire Reka, serta Trofi Gegar Vaganza.
“Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih kepada ketiga juri.
“Terima kasih banyak-banyak juga kepada pihak produksi yang memberi peluang kepada saya di GV12, pihak pengurusan dan ‘team’.
“Terima kasih juga kepada keluarga, isteri dan anak-anak,” katanya.
Tempat Naib Juara pula menjadi milik trio Indonesia, yang turut mempamerkan persembahan mantap dan berkesan di pentas akhir.
Mendua menerima wang tunai RM50,000 sumbangan Astro, Set Ruang Makan tajaan Empire Reka, serta Trofi Gegar Vaganza sebagai pengiktirafan atas pencapaiannya.
Nubhan pula di tempat ketiga, sekali gus membawa pulang wang tunai RM30,000 sumbangan Astro, Set Ruang Tidur tajaan Empire Reka, dan Trofi Gegar Vaganza.
Senarai Pemenang Lain
Sementara itu, Mark Adam menduduki tempat keempat, melayakkannya untuk menerima wang tunai RM20,000 sumbangan Astro, Set Perabot tajaan Empire Reka, serta Trofi Gegar Vaganza.
Personaliti ceria dan kebolehan Mark menyesuaikan diri dengan pelbagai genre lagu terus menjadi kekuatan utamanya sepanjang saingan.
Bagi tempat kelima, kedudukan tersebut dimenangi oleh Mell Sakura, yang membawa pulang wang tunai RM15,000 sumbangan Astro, Set Perabot tajaan Empire Reka, serta Trofi Gegar Vaganza.
Mell membawakan lagu Still Into You untuk segmen solo dan duet bersama Fadly Padi menerusi lagu Kasih Tak Sampai.
Menyampaikan lagu Hapus Aku untuk segmen solo, tempat keenam menjadi milik Ruri Repvblik, sekali gus menerima wang tunai RM10,000 sumbangan Uphamol, Set Perabot tajaan Empire Reka, serta Trofi Gegar Vaganza.
Perjalanan GV12
Sebanyak 13 bintang berentap dalam Gegar Vaganza musim ini iaitu Nubhan, Mark Adam, Datuk Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra, Mell Sakura serta kumpulan Freshies (Ejie dan Shima).
Dari Indonesia, pentas GV12 diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri.
Singapura pula diwakili oleh Iskandar Ismail, manakala SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini. Ia pastinya menjanjikan sentuhan seni yang unik serta kejutan segar yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.
Penganjuran Gegar Vaganza tahun ini masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS sebagai juri tetap.
Program ini dikendalikan oleh dua hos, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
GV12 bersiaran secara langsung dari MBSA, Shah Alam bermula 2 November 2025, setiap Ahad jam 9 malam, dan dipancarkan menerusi Astro Ria (saluran 104).
GV12 juga boleh disaksikan secara strim On Demand di Astro GO dan sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




