
Penyanyi Irene Catalina semakin mencuri perhatian dan menjadi topik perbualan dalam kalangan netizen sejak kembali aktif dalam industri muzik.
Kemunculannya bermula menerusi single comeback berjudul Mau Apa Lagi pada September tahun lalu, diikuti naskhah istimewa sempena Syawal iaitu Vibes Hari Raya, duet bersama Nuim.
Sejak itu, Irene dilihat semakin rancak untuk kembali membina nama dalam dunia nyanyian tempatan.
Terbaharu, penampilannya di acara The Music Run by AFFIN yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu turut mencetuskan pelbagai reaksi.
Antaranya termasuk persoalan daripada segelintir individu yang masih kurang mengenalinya seperti yang ditinggalkan menerusi ruang komen di media sosial.
“Wow TokTi konsert apa ni? Tapi Irene Catalina, Thalita, Jambu tu siapa pulak dah? Tak pernah tengok pun.”
“Mampu ke nak lawan Siti? Fikir bebaiklah walau nak menghimpit pun.”
“Hmmm yang TokTi okay dah. Tapi artis-artis baru yang nak ngimpit TokTi tu? Serious la…”
“Siti yang kenal. Yang lain artis baru tak kenal.”
Berkongsi mengenai perkara tersebut, Irene mengakui ada membaca komen netizen yang mempertikaikan kehadirannya di pentas berkenaan.
Irene bagaimanapun memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara berkenaan.
“Saya ada nampak komen yang tertanya-tanya siapa saya dan kenapa saya berada di acara itu. Ada yang lebih teruk mengatakan saya cuba himpit Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Bagi saya, itu perkara biasa. Saya cuba kekal positif dan fokus pada apa yang saya buat,” katanya.
Tambah Irene, selain komen terbuka di media sosial, dia juga menerima mesej peribadi yang mempersoalkan kehadirannya, termasuk dakwaan cuba menumpang populariti Biduanita Negara itu yang turut membuat persembahan pada acara sama.
“Ada juga yang hantar mesej secara peribadi, tanya siapa saya dan ada yang kata saya cuba tumpang nama penyanyi nombor satu Malaysia sebab kami berkongsi pentas.
“Saya terima sahaja, mungkin mereka belum kenal saya lagi. Saya mahu tenang dan positif saja” jelasnya lagi.
Namun, Irene berharap orang ramai dapat memberi ruang dan peluang untuk dirinya memperkenalkan bakat yang dimilikinya, selepas ini.
“Saya harap mereka boleh buka hati dan beri peluang untuk kenal siapa saya. Apa yang saya buat ini adalah usaha untuk berkongsi bakat dengan semua,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Irene meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang membuat persembahan di acara tersebut dan menganggapnya sebagai satu rezeki yang besar.
“Saya percaya setiap rezeki itu sudah ditentukan. Dapat berkongsi pentas dengan artis hebat, terutamanya Datuk Seri Siti Nurhaliza buat saya lagi bersemangat untuk teruskan perjalanan dalam industri,” ujarnya.
Pada acara tersebut, Irene menyampaikan tiga buah lagu iaitu Golden, Mahu Apa Lagi dan Tabola Bale, sekali gus menandakan antara penampilan besar selepas bergerak secara solo.
Menurut Irene, perasaan gementar tetap hadir sebelum naik ke pentas, namun dia tetap berusaha memberikan persembahan terbaik.
“Memang ada rasa gugup, tapi saya cuba buat yang terbaik. Dulu masa bersama kumpulan Angels, saya pernah buat persembahan besar, tapi kali ini lebih bermakna sebab saya tampil sebagai penyanyi solo,” katanya.
Dalam pada itu, Irene kini sedang dalam proses menyiapkan lagu baharu, di samping memenuhi beberapa undangan persembahan korporat sekitar Kuala Lumpur.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini