Berita

“Ini Idea Kami, Tak Bayar Sesiapa Pun,” – Cik B & DSV Tak Sangka Dapat 4 Standing Ovation, Idea Luar Kotak Dipertikai

Share

Pempengaruh, Cik B akui tidak menyangka persembahannya pada minggu separuh akhir Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2) Ahad lalu berjaya meraih empat standing ovation daripada barisan juri tetap dan jemputan.

Menurut Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, dia hanya memberikan fokus terhadap aspek nyanyian manakala elemen persembahan di atas pentas banyak berlaku secara spontan.

“Saya sangat tak percaya. Saya ingatkan, paling tidak pun hanya dua juri sahaja yang akan bangun. Kali ini, keempat-empat juri bangun. Alhamdulillah.

“Saya rasa seperti sudah boleh buat persembahan sendiri. Apa yang berlaku di atas pentas, kebanyakkannya saya ‘freestyle’ sahaja.

“Saya hanya fahal bahagian nyanyian dan lirik. Kalau bab menari, saya hanya bergerak sendiri. Orang kata naik sheikh,” katanya kepada MH.

Cik B berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert separuh akhir TTMM2, baru-baru ini.

Segala Idea Datang Daripada Mama Dan…

Dalam pada itu, anak kepada usahawan sensasi Datuk Seri Vida itu turut menafikan dakwaan kononnya dia mendapatkan khidmat pihak luar bagi merangka persembahan yang dipersembahkan setiap minggu.

Sebaliknya, jelas Cik B, semua gimik dan konsep persembahan yang ditampilkan di atas pentas merupakan idea asal daripada dirinya bersama ibunya.

“Sejujurnya, segala idea persembahan datang daripada mama dan saya sendiri. Saya tak bayar sesiapa pun. Pada mulanya mama dan pihak produksi tak bersetuju saya membawakan lagu Anak Tupai.

“Kata mereka lagu ini tak sesuai dan tak boleh pergi jauh. Malah, mereka anggap ini hanyalah lagu dikir barat biasa. Namun, apa yang terjadi malam tadi adalah persembahan yang luar biasa.

“Satu perkara mengenai ibu saya, walaupun dia jarang berikan idea, sekali ideanya datang, ia boleh mengubah persembahan itu menjadi lebih baik,” ujarnya lagi.

Pujian Yusry Suntik Keyakinan

Pada masa sama, Cik B mengakui teruja apabila menerima pujian daripada juri jemputan, Datuk Yusry Abdul Halim yang menyifatkan dirinya memiliki aura seorang superstar kerana berjaya mengawal penonton sepanjang persembahan.

Menurut Cik B, semangat tersebut hadir apabila melihat reaksi luar biasa daripada penonton yang memberikan sokongan penuh ketika dia membuat persembahan.

“Sewaktu buat persembahan, saya jadi lebih bersemangat sebab saya nampak ramai penonton yang bersemangat dan berdiri.

“Daripada situ, saya dapat buang perasaan malu dan segan. Sokongan mereka ini yang membuatkan saya bersemangat dan percaya diri.

“Penyokong di TTMM2 ini sangat bagus. Mereka sokong semua peserta,” akhirinya.

Terdahulu, Cik B menjadi antara lima finalis yang berjaya melangkah ke peringkat Grand Finale TTMM2.

Persembahannya menerusi lagu Anak Tupai dan Havoc berjaya menambat hati para juri, sekali gus melayakkan dirinya menduduki tangga kedua keseluruhan pada malam separuh akhir.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf