Pembantu peribadi kepada selebriti dan usahawan, Neelofa iaitu Nadiah Khairuddin mengesahkan dirinya sudah pun berhubung dengan individu yang dipercayai memuat naik paparan skrin WhatsApp yang tular melibatkan Neelofa dan PU Riz baru-baru ini.

Nadiah berkata, dia sudah menyerahkan wanita dikenali Syamira Safiya itu kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut.

“Selepas saya memuat naik wajah serta memintanya untuk tampil, akhirnya wanita tersebut menghubungi saya secara peribadi di media sosial selepas tiga jam ia dimuat naik.

“Sebagai pembantu kepada Neelofa, saya sudah meminta dia untuk berurusan dengan wakil peguam saya.

“Ini kerana, menerusi paparan skrin terbabit dia secara tidak langsung sudah mengaitkan nama saya,” katanya.

Menurut Nadiah, dia tidak mengenali wanita terbabit apatah lagi bertemu.

IKLAN

“Kami tidak ada apa-apa kaitan. Dia bukan saudara atau kawan saya.

“Cuma apa yang penting saya hanya mahu membersihkan nama daripada terpalit dengan konflik membabitkan majikan dan PU Riz,” katanya.

Terdahulu Nadiah mencari wanita menggunakan nama Syamira Safiya yang dipercayai melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas di laman sosial sehingga menjejaskan nama baik Neelofa dan PU Riz.

IKLAN

Nadiah menerusi Instagram Story miliknya telah memuat naik foto dan meminta info daripada orang ramai yang mengenali wanita berkenaan agar tampil membantu pihaknya mengesan individu terbabit.

Sebelum ini, satu akaun Twitter dengan nama Syamirasafiya02 didakwa telah memuat naik paparan skrin mesej perbualan menceritakan kononnya Neelofa terkena minyak pengasih dan sedang berubat.

Menerusi perbualan itu juga mendakwa bekas pengacara MeleTOP itu memasukkan sejumlah wang ke akaun tunangnya atas tujuan tertentu.

IKLAN

Selain pada masa sama, mendakwa pasangan itu sudah berkahwin di Kelantan.

Bagaimanapun Neelofa tampil menerusi satu kenyataan menyangkal tuduhan tidak tepat serta dianggap menjejaskan nama baik dan maruah keluarganya.

Kisah mengenai hubungan Neelofa dan PU Riz hangat diperkatakan netizen selepas adik-beradik usahawan itu asyik berkongsi status berbaur sindiran yang dipercayai ditujukan kepada PU Riz.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 1 November lalu di kediaman keluarganya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI