
Imranul Effendy
Pelakon dan penari, Imranul Effendy berkongsi pengalaman sepanjang menjalani penggambaran naskhah Nar’Sata yang kini sedang ditayangkan menerusi platform penstriman Netflix.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Imranul mendedahkan proses menghasilkan sesebuah naskhah bukanlah sesuatu yang mudah kerana menuntut komitmen serta pengorbanan besar daripada seluruh pasukan produksi dan pelakon.
“Di sebalik setiap babak, ada satu pasukan produksi dan barisan pelakon yang bekerja keras tanpa henti untuk menghidupkan cerita ini.
“Malah, ada hari kami mula penggambaran seawal pagi dan hanya ‘wrap’ keesokan paginya. Ada juga yang langsung tidak tidur,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, pelakon filem Takluk 2: Op Daulat itu turut berkongsi pengalaman mencabar ketika menjayakan babak aksi yang memerlukannya tergantung secara terbalik.
Baca Artikel Lain;
“Antara babak paling mencabar buat saya adalah adegan tergantung secara terbalik.
“‘Rigging’ yang digunakan benar-benar menarik bahagian pinggang saya, memang sakit yang tidak boleh digambarkan.
“Tetapi sejujurnya, saya ‘enjoy’ setiap detik itu,” ujarnya.
Pada masa sama, Imranul menyifatkan pengalaman tersebut sebagai detik yang cukup bermakna apabila impiannya untuk melakukan aksi stunt sendiri akhirnya menjadi kenyataan.
“Salah satu impian saya juga akhirnya menjadi kenyataan apabila diberi peluang melakukan aksi stunt sendiri.
“Walaupun terdapat perubahan besar pada saat akhir, Alhamdulillah dengan bantuan pasukan stunt yang hebat, kami berjaya merealisasikannya. Kami berjaya,” kongsinya.
Dalam pada itu, Imranul turut merakamkan penghargaan kepada seluruh tenaga produksi serta barisan pelakon yang bertungkus-lumus menjayakan naskhah berkenaan.
Menurutnya, ramai hanya melihat hasil akhir di skrin, sedangkan di sebalik pembikinan sesebuah karya, terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi.
“Ramai yang hanya melihat hasil akhir di skrin, tetapi di sebaliknya ada malam tanpa tidur, kesakitan, tekanan, perubahan saat akhir dan usaha semua pihak yang terus berjuang sehingga babak itu sempurna dirakam.
“Setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh tenaga kerja dan pelakon yang telah mencurahkan masa, tenaga dan jiwa dalam naskhah ini.
“Perjalanan ini bukan mudah, namun saya amat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripadanya,” luahnya.
Imranul turut menzahirkan penghargaan kepada pengarah Pierre Andre serta pihak produksi yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas watak Ben.
“Terima kasih tidak terhingga kepada abang Pierre Andre kerana mempercayai saya untuk menghidupkan watak Ben.
“Tidak dilupakan juga Metro Wealth dan Jack Chu atas peluang yang diberikan.
“Daripada hari-hari yang panjang dan malam yang penuh cabaran… akhirnya Nar’Sata kini menemui penonton di Netflix. Alhamdulillah. Mimpi jadi kenyataan,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Imranul memuat naik beberapa video di sebalik tabir ketika menjalani penggambaran filem bergenre seram Nar’Sata: Sekutu Setan, arahan Pierre Andre, yang kini boleh distrim menerusi platform Netflix.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.