
Sejak kebelakangan ini, industri hiburan tanah air semakin meriah dengan kemunculan ramai artis baharu yang ingin menceburi bidang nyanyian.
Tidak ketinggalan juga barisan pempengaruh yang sanggup berbelanja besar demi melancarkan projek single masing-masing.
Namun begitu, situasi ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan penggemar muzik tempatan.
Ada yang berpendapat segelintir penyanyi masa kini seolah-olah mengambil mudah aspek teknik nyanyian dan hanya melancarkan lagu demi meraih populariti singkat.
Bagi penyanyi dan guru vokal, Adeep Nahar, trend sebegini berpotensi memberi kesan baik dan sebaliknya.

Namun, mungkin juga akan wujud tanggapan bahawa ilmu vokal tidak lagi penting.
“Itu persepsi yang salah. Kalau mereka merasakan diri mereka sudah bagus, itu terpulang kepada pandangan masing-masing. Sehingga sekarang, saya masih lagi belajar untuk memperbaiki teknik nyanyian saya.
“Ada perkara yang kita tak tahu tapi orang lain tahu. Sama juga seperti kita belajar matematik atau ilmu agama. Kalau kita tak tahu, sudah pasti kita akan mencari guru.
“Jika ada yang kata belajar vokal ini tidak relavan, itu terpulanglah kepada mereka,” katanya kepada MH.
Anggota kumpulan The Fabulous Cats itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media dan preview Ramadan, Sajian Imbauan Desa: Gajah Tiga X Farmer Village yang berlangsung di Farmer Village, baru-baru ini.

Nyanyian Bukan Sekadar Lontarkan Suara
Menurut Adeep, bidang nyanyian bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikuasai kerana terdapat pelbagai aspek yang perlu difahami sebelum seseorang itu bergelar penyanyi atau melancarkan single.

“Pada saya, nyanyian ini bukan sesuatu yang mudah. Nyanyi ini menggunakan ‘instrument’ daripada badan kita sendiri. Jika alat muzik seperi gitar, keyboard dan drum, ia terhasil daripada bunyi-bunyian dan bantuan elektrik.
“Kita kena faham penggunaan suara, teknik nyanyian dan pernafasan. Nak persembahkan nyanyian juga turut main peranan. Adakah kita faham setiap nota dan perkataan yang kita lontarkan,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa proses pembelajaran tidak pernah berhenti walaupun sudah lama berada dalam industri.

“Ramai yang boleh ‘nyanyi’ tapi yang ramai yang boleh ‘menyanyi’. Kita kena tahu apa yang ingin dinyanyikan. Bukan setakat keluarkan suara sahaja. Penjiwaan juga perlu sampai. Bahagian teknikal itu sangat penting.
“Saya pun kena banyak belajar lagi. Saya belum cukup bagus,” kongsinya.
Sementara itu, dua restoran popular, Gajah Tiga dan Farmer Village, buat julung kalinya bergabung mempersembahkan Sajian Imbauan Desa menerusi hidangan bufet iftar sempena Ramadan.

Sajian Imbauan Desa bakal menampilkan lebih daripada 70 juadah warisan Melayu yang disediakan oleh cef berpengalaman dari hotel lima bintang.
Bufet Ramadan ini akan mula beroperasi pada 23 Februari depan bertempat di Farmer Village, Semenyih, Selangor.
Harga bagi seorang bermula dari RM78 hingga RM128.
Bagaimanapun, 1,000 pelanggan terawal yang membuat tempahan berpeluang menikmati harga istimewa ‘early bird’ serendah RM68 hingga RM98.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




