Berita

Hussain ‘Menyala’ Terima Markah Tertinggi 72%, Sufie Rose Pula Tiada Rezeki… Jadi Peserta Pertama Tersingkir Big Stage Rocketfuel

Share

Konsert minggu kedua program realiti, Big Stage Rocketfuel malam tadi menyaksikan Sufie Rose menjadi peserta pertama yang tersingkir selepas persembahannya menerusi lagu Panas nyanyian asal kumpulan De Fam gagal memikat hati barisan juri.

Walaupun mempamerkan peningkatan berbanding persembahan pada minggu pertama, Sufie bagaimanapun dilihat masih belum mampu memberikan saingan yang cukup sengit kepada 10 lagi peserta yang masih bertanding.

Turut berada dalam kelompok tiga terbawah ialah Aliff Kimiey dan Danial Kifli.

Namun, kedua-dua mereka berjaya mengekalkan kedudukan dan akan meneruskan cabaran pada konsert minggu hadapan.

Hussain Ungguli Saingan Dengan Markah 72%

Sementara itu, Hussain mula membuktikan kemampuannya apabila muncul sebagai peserta terbaik pada konsert minggu kedua.

Menerusi persembahan lagu Hutang nyanyian asal Floor 88, Hussain berjaya mencipta sensasi apabila meraih markah tertinggi sebanyak 72%.

Bukan itu sahaja, Hussain turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Rocketstar Of The Week.

Tempat kedua pula menjadi milik Ranisha dengan markah 71.67%, manakala pasangan duo Azam dan Azmi melengkapkan kedudukan tiga terbaik selepas memperoleh 70%.

11 Peserta Bersaing Rebut Kontrak RM200,000

Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta akan bersaing merebut gelaran juara dengan tiga pemenang utama bakal membawa pulang Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.

Dalam pada itu, musim kali ini pada asalnya menampilkan 10 peserta yang terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie sebelum Hussain diumumkan sebagai peserta ke-11.

Ganjaran yang ditawarkan merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.

Program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva Natassha itu bersiaran setiap Ahad, pukul 9.00 malam di Astro Ria, selain boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf