Tidak menafikan hakikat bahawa iman manusia ada naik dan turunnya, pelakon Kilafairy secara jujur mendedahkan dia pernah terdetik dalam hati untuk tidak lagi mengenakan hijab.
Bagaiamapun, selepas melalui proses muhasabah diri, dia kembali sedar hidup ini bukanlah semata-mata untuk mencari pujian manusia.
“Kenapa rasa macam nak free hair balik ni eh? Namun, bila difikirkan semula hal ini, kenapa saya nak puaskan hati manusia lain?
“Saya patut buat sesuatu kerana Allah. Bukan manusia,” tulisnya.
Luahan tersebut dikongsikan Kila, atau nama penuhnya Syakila Nisa Jahangir Khan, menerusi satu hantaran di aplikasi Thread.
Pelakon filem Karak itu turut menekankan, jalan istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditempuhi.
Ads
Mohon Doa Kekuatan Iman
Dalam perkongsian sama, Kila turut memohon kepada para pengikut dan peminat, mendoakan dirinya agar terus teguh dalam ketaatan dan keimanan.
“Sekarang baru faham kenapa orang kata istiqamah tu susah. Astaghfirullahal’azim Ya Allah kuatkanlah iman aku. Tolong doakan saya ya.
Ads
“Hujung-hujung dah iman saya ini. Saya perlukan doa anda. Doa mama dah tiada,” kongsinya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat, selain mengingatkan Kila akan perasaan dan ujian seperti itu sebagai lumrah dalam perjalanan menuju redhaNya.
“Ingatlah kita duduk atas dunia ni hanya sementara, akhirat selamanya. So nak rasa kemanisan yang sementara ke nak yang selamanya?”
Ads
“Awak sangat cantik bila berhijab. Semua ini adalah ujian. Jangan bagi setan menang.”
“Ingat kali pertama awak pakai hijab dan reaksi ayah awak. InshaAllah, saya tahu awak boleh.”
Untuk rekod, Kila Fairy mula berhijab secara rasmi pada tahun 2020.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Usahawan sensasi dan pengasas empayar D’Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri, sekali lagi mencuri perhatian selepas mengulas mengenai pembelian sebuah jet peribadi yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.
Menurutnya, penjelasan penuh akan dibuat pada Jumaat ini melalui satu pengumuman khas.
Katanya, pengumuman itu tidak boleh dilakukan lebih awal kerana melibatkan banyak pihak serta mengambil kira pelbagai risiko termasuklah kemungkinan disalah tafsir sebagai riak atau terdedah kepada pemeriksaan cukai.
“Sebenarnya kalau nak beritahu nanti orang kata riak dan kalau beritahu juga cukai kejar. Tapi, kalau nak tahu mengenai jet peribadi itu Jumaat nanti saya akan umumkan.
“Sekarang ini saya tak mahu cerita lebih lanjut, doakan yang baik-baik sahaja.
“Kenapa Jumaat? Sebab perkara ini membabitkan ramai orang kerana nilainya (jet peribadi) jutaan ringgit. Jadi, kita tunggu hari Jumaat, saya harap rakyat Malaysia doakan yang terbaik.
“Bila lihat orang ada sesuatu, takut ada penyakit ain, jadi tunggu hari Jumaat sahaja. Sekarang saya tak keluarkan apa-apa kenyataan lagi, tunggu hari Jumaat,” katanya.
Tambahnya lagi, pemilikan jet peribadi itu bukanlah satu gimik semata-mata, sebaliknya merupakan impian sejak sekian lama.
“Jet peribadi ini memang impian saya dari dulu, setiap orang juga ada impian. Bila cerita mengenai jet peribadi ini viral saya tak sangka sebab saya hanya berkongsi mengenai kisah hidup.
“Tapi untuk tahu lebih lanjut, perlu tunggu hari Jumaat sebab itu adalah hari penentu. Bila bekerja dengan ramai orang dan ia bukan sesuatu yang murah.
“Ini adalah bisnes dan perkara besar. Ramai orang salah tafsir dan cakap saya macam-macam,” katanya lagi.
Mengulas kejayaan perniagaan produk terbaharunya, Aliff turut menyatakan jualan jeruk mangga harumanis yang diusahakan sejak awal tahun ini memberi impak besar terhadap sumber pendapatannya bersama keluarga.
“Sejujurnya saya jual jeruk mangga ini secara kecil-kecilan, tak ada pun niat nak tunjuk hasil jualan itu saya dapat beli jet. Saya teruja kerana macam mana jualan jeruk itu boleh dapat jutaan ringgit.
“Bukan senang kerana saya hanya berniaga secara dalam talian dan orang memandang rendah kerana jualan begini orang kampung sahaja.
“Saya ucap terima kasih kepada semua yang menyokong saya kerana jualan ini sudah kumpul jutaan ringgit. Walaupun ia sekadar jeruk, tapi ini sungguh bermakna,” katanya.
Terdahulu, Aliff menerusi video yang dimuat naik di Instagram, berkongsi keterujaannya menaiki jet berwarna hitam itu bersama isteri dan anak sulung.
Dalam perkembangan lain, Aliff juga bakal mencabar dirinya untuk mencipta satu rekod baharu menerusi The Malaysia Book of Records.
Aliff menzahirkan hasrat untuk mencipta rekod Malaysia melalui The Malaysia Book of Records sebagai ‘Kutipan Jualan Bag Tangan RM1 Juta Terpantas Melalui Penstriman Langsung’ yang dijadual 3 Ogos depan jam 8 malam di platform TikTok, @papalarisofficial.
Aliff berkongsi, dia akan memperkenalkan koleksi baharu koleksi beg tangan, ‘Samma Bag Denim Edition’ pada malam tersebut bagi mencapai hasrat mencipta rekod Malaysia.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 69, terharu apabila diberi peluang untuk kembali ke layar perak menerusi filem aksi Felai FX terbitan Sheunik Sdn Bhd.
Pelakon filem Adik Manja yang pernah mencetus fenomena sekitar 1980-an ini melahirkan rasa syukur apabila hasratnya untuk kembali aktif dalam lakonan sebagai sumber pendapatan menjadi kenyataan, selepas menerima tawaran berlakon daripada penerbit filem tersebut, Richard Ung.
Apa yang lebih menyentuh hati, anak lelakinya, Muhammad Al Syafiq, 36, turut diberi peluang untuk membintangi filem sama.
“Kawan saya yang juga penerbit Richard ini memang ‘gila’ sikit. Bila nampak saya terus ajak berlakon, kemudian dengan anak saya pun dia ajak sekali. Sudah lama saya tak berlakon, dulu mereka panggil ketika saya sihat, elok.
“Bukan macam sekarang ini, saya sudah tak berapa sihat. Bila tengah sihat okay sahaja. Sekarang saya tengah sakit memang tak boleh berlakon. Tapi masa saya berlakon untuk filem ini saya masih okay, boleh buat ‘stunt’ dan jayakan babak bergaduh.
“Tawaran untuk filem ini saya dapat pada 2023 dan penggambaran pun pada tahun itu juga ketika masih sihat. Cuma, baru-baru ini saya menghadapi masalah tekanan, lama-lama saya kurang makan macam-macam lagi penyakit datang,” katanya.
Dharma yang juga bapa kepada dua cahaya mata ditemui pada tayangan khas filem Felai FX di Panggung 1, FINAS, pada Khamis.
Menerusi filem itu, Dharma membawakan watak ketua kumpulan samseng yang terlibat dalam sindiket pelaburan mata wang asing.
“Dalam filem ini saya jadi ketua ‘samseng’ atau ‘mafia’ dan banyak jalankan urusan ‘forex’. Kemudian ada juga babak aksi seperti tembak-menembak.
“Kiranya saya jayakan watak antagonis dalam filem ini. Sebenarnya saya tak minat watak jahat, tapi sebab sudah terlalu lama tak berlakon, jadi saya ambil tawaran sebab memang ini minat saya dan ini juga diajak oleh kawan saya, Richard.
“Richard ini kawan lama saya tu sejak era 1980-an lagi, jadi nak tak nak, saya buat jugalah. Memang sudah lama saya tak berlakon sebab sebelum ini juga saya banyak terbabit di belakang tabir dengan produksi sendiri,” jelasnya.
Lebih daripada sekadar pekerjaan, penglibatan dalam filem ini menjadi satu bentuk terapi buat Dharma, yang mengubat kerinduannya terhadap dunia seni lakon yang sekian lama ditinggalkan.
“Memang dapat mengubat kerinduan saya walaupun saya terbabit untuk penggambaran ini hanya sehari sahaja. Memang sekejap sahaja penggambaran saya, datang pagi petang sudah habis, malam pula tak ada.
“Saya tak rasa ini sebagai pekerjaan, tapi perkara yang memang saya cinta, jadi bila dapat kembali memang mengubat kerinduan. Kali ini saya banyak terbabit dengan pelakon-pelakon saya tak berapa kenal kerana kebanyakan masih baharu,” katanya lagi.
Penerbit filem tersebut, Richard Ung, turut mengambil inisiatif membantu Dharma melalui syarikatnya, AMP Moves Sdn Bhd, dengan kerjasama Sheunik Sdn Bhd serta Teguh Setanding, menganjurkan tayangan khas Felai FX yang lebih bersifat kebajikan berbanding komersial.
Richard turut menjelaskan, tayangan khas itu diadakan bagi membantu Dharma bagi melunaskan tunggakan sewa rumah dan menampung kos sara hidup dua anaknya, termasuk seorang yang masih menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
“Saya tidak dapat berkongsi jumlah sumbangan yang akan disalurkan kepada Dharma pada majlis tayangan khas ini.
“Apa yang boleh saya beritahu, sumbangan itu cukup untuk Dharma keluar dari kemelut yang dihadapi sekarang iaitu untuk bayar tunggakan sewa rumah dan kos sara hidup dalam tempoh tiga bulan sehingga anaknya menamatkan pengajian,” katanya.
Melalui inisiatif ini, Dharma turut menerima sumbangan wang tunai daripada syarikat produksi sebagai tanda sokongan dan keprihatinan industri terhadap insan seni yang pernah mewarnai layar perak suatu ketika dahulu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon dan usahawan, Wawa Zainal terus komited dan serius mengukuhkan jenama kosmetik miliknya, Wawa Cosmetics di bawah payung Wawa Global Sdn Bhd.
Terbaharu, jenama ini tampil dengan wajah kempen baharu menerusi penjenamaan semula dan pembungkusan baharu tiga produk pelindung matahari keluarannya.
Langkah ini antara lain, diambil bagi membanteras penyebaran produk tiruan yang semakin berleluasa di pasaran.
Penjenamaan semula ini turut menampilkan imej yang lebih elegan dan profesional, disokong oleh wajah-wajah popular seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, serta pasangan sensasi, Umisya Mazlan dan Ahmad Aslam.
“Kami di Wawa Global sangat komited dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk yang memenuhi kehendak pengguna masa kini.
“Kami percaya produk yang selamat, halal dan berkualiti tinggi adalah asas kejayaan yang mampan,” kata Wawa.
Sejak dipasarkan, Sunscreen Wawa telah mencatat lebih 4 juta unit jualan, satu angka yang membuktikan tahap kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk tersebut.
Dalam majlis pelancaran produk baharunya itu di sebuah pusat pickleball di TREC, Kuala Lumpur baru-baru ini, Wawa Zainal turut berkongsi tentang cabaran kesihatan yang dialaminya sejak setahun lalu.
Wawa, 34, mengakui sistem imun badannya semakin merosot seiring usia dan tidak menolak kemungkinan dirinya turut terkesan dengan penyakit ain iaitu gangguan daripada pandangan mata yang disertai iri hati atau dengki.
“Ini pun sebenarnya saya baru baik daripada demam, batuk. Kalau nak dikatakan ini antara kesan penyakit ain, saya pun tak berani nak cakap. Sebab risau juga…
“Saya memang melakukan pemeriksaan secara berkala, tapi setakat ini syukur, tiada apa-apa yang serius. Apa pun saya mula kerap rasa tak sihat sejak setahun inilah.
“Mungkin juga sebab usia pun tak meningkat, jadi tidak samalah ketika kita muda-muda dulu. Sebelum ini, boleh dikatakan setahun sekali baru dapat demam,” katanya.
Wawa bagaimanapun hanya mendoakan yang terbaik buat dirinya seisi keluarga.
“Cuma bila ibu sakit, anak-anak pun mudah terkena jangkitan sebab imun mereka masih lagi rendah. Apa pun mereka semua sudah kembali baik, alhamdulillah.
“Sekarang, saya hanya perbanyakkan solat sunat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Harapnya sihat seperti sedia kala sebab bila kita tak sihat ni, terganggu kita punya rutin,” katanya lagi.
Hadir bersama suami yang juga pelakon, Aeril Zafrel, Wawa memaklumkan dia kini masih dalam proses pemulihan daripada batuk dan sakit tekak, selepas sebelum ini pernah ditahan di hospital akibat gastrik kronik.
“Kalau rasa tidak sihat, Aeril akan terus bawa saya ke hospital. Saya ada juga minta nasihat daripada Ustaz. Masih ada (elemen gangguan) tak tahu bila ‘benda’ tu berakhir.
“Mungkin saya ada sakitkan hati orang ke, saya pun tak pasti. Di kesempatan ini juga saya nak minta maaf kalau ada saya ada tersakiti hati sesiapa di luar sana. Kalau ada yang berdendam, saya minta maaf,” katanya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon, Adam Corrie menasihati para wanita di luar sana agar lebih bijak menilai keadaan dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi masalah bersama lelaki bukan mahram, termasuk daripada kalangan artis, influencer dan ustaz.