Meskipun sudah hampir dua tahun putus tunang, pelakon, Syazwan Zulkifly memaklumkan hubungannya bersama bekas tunang yang juga pramugari, Syawariah  Zulkifli, masih lagi baik sehingga hari ini.

Malah, Syazwan turut mendedahkan dia bakal membawa bekas tunangnya tu untuk menyambut hari raya Aidilfitri di kampung halamannya di Melaka.

Jelas Syazwan, dia tidak mahu Syawariah berasa sunyi memandangkan kedua-dua ibu bapanya sudah meninggal dunia manakala adik-beradiknya yang lain pula beraya di rumah mentua.

“Tahun ini, saya masih lagi beraya secara solo tapi berkemungkinan bekas tunang saya akan ikut sekali beraya di kampung saya di Melaka.

“Kedua-dua ibu bapa dia pun sudah tiada lagi. Ahli keluarga dia yang lain pula banyak beraya di rumah mentua. Mak saya juga dah kenal dia. Mak saya lagi rapat dan percaya dia daripada saya.

“Jadi, bila dia kata nak ikut, saya okay sahaja. Ia ibarat macam pergi bercuti la untuk dia. Sebelum ini saya sudah pernah bawa dia beraya di kampung saya,” katanya kepada MH.

Pelakon siri Nenek Bongkok Tiga itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa Viu Together Gather di Pavillion Hotel baru-baru ini.

IKLAN

Ditanya adakah dia berhasrat untuk kembali bersama bekas tunangnya itu, Syazwan berkata, dia dan bekas tunang tidak pernah berbincang mengenai perkara tersebut.

“Sebelum bertunang, kami memang sudah berkawan lama. Hubungan kami memang sentiasa baik dan tak pernah bergaduh.

“Untuk kembali bersama, saya pun tak tahu macam mana nak jawab. Kami putus tunang sudah dua tahun dan tak pernah berbincang untuk kembali bersama.

“Saya tak pernah mencari orang lain tapi kalau untuk dia, saya tak tahu. Saya pun tak pernah bertanya jika dia sudah ada teman lelaki baharu atau tidak.

IKLAN

“Mungkin gelaran ‘tunang’ itu sahaja yang tiada kerana kami masih luangkan masa bersama. Kadang-kadang, kalau saya tiada di rumah, dia akan bantu jaga kucing saya. Ia merupakan kucing kami bersama. Kami beli ketika bertunang dahulu,” kongsinya lagi.

Bagaimanapun, Syazwan tetap menyerahkan soal jodohnya bersama bekas tunang kepada yang maha Esa.

“Memang selama ini fokus saya hanya pada kerjaya sahaja. Saya belum ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga. Dia pun begitu.

IKLAN

“Ibu saya pun tak bertanya kerana adik saya sudah berkahwin. Jadi, tiada tekanan untuk saya. Saya anggap diri saya muda lagi. Baru 36 dan kata orang, pada usia begini, hidup kita baru nak bermula.

“Namun, ia bergantung kepada soal jodoh juga. Kalau ada jodoh saya dengan dia, saya terima. Kalau tiada, kita teruskan sahaja hidup.

“Nak kata selesa hidup membujang, kadang kala bosan juga. Tapi nak buat macam mana? Itulah realitinya,” akhirinya.

Syazwan dan Sya mengikat tali pertunangan pada 31 Ogos 2019 di kediaman keluarga Sya di Taiping, Perak, selepas 10 tahun berkawan rapat.

Namun, mereka sepakat memutuskan tali pertunangan pada 31 Mac 2020.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI