
Pelakon, Hairul Azreen tetap dengan pendiriannya untuk tidak kembali ke dunia lakonan meskipun standard industri filem aksi tempatan kini dilihat semakin berkembang ke arah lebih positif.
Menurut Hairul, dia kini menjalani kehidupan berbeza dan bersyukur dengan apa yang sedang dilakukannya ketika ini.
“Saya tiada perancangan untuk kembali ke dunia lakonan. Ketika ini, saya sangat gembira dan bersyukur dengan apa yang sedang saya buat. Saya tidak akan berlakon lagi,” katanya kepada MH.
Hairul berkata sedemikian ketika ditemui di acara ulang tahun ke-10 jenama fesyen, Cakenis, baru-baru ini.
Dalam masa sama, suami kepada usahawan dan hos, Hanis Zalikha itu turut memberikan reaksinya apabila ada pihak yang berasakan filem-filem aksi tempatan bakal lebih meriah sekiranya dia kembali sebagai pelakon.
“Saya tak rasa sebegitu. Sebenarnya, saya belum lagi menonton filem-filem aksi yang sedang ditayangkan di pawagam. Saya pun tak rasa yang saya kena terlibat di dalam filem-filem aksi lagi.
“Pada saya, pelakon-pelakon baharu ini sangat bagus. Namun, saya kena tonton dahulu baru saya boleh nampak bakat mereka,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai perubahan dalam industri, Hairul mengakui dia berbangga apabila pendekatan latihan intensif sebelum penggambaran yang pernah diperkenalkannya suatu ketika dahulu kini mula menjadi ikutan ramai.
“Apa yang saya nampak, ketika ini, ramai penerbit dan pengarah yang menghasilkan filem aksi. Saya sangat seronok bila melihat perkara yang saya tinggalkan dahulu, kini sudah mula menjadi ikutan.
“Sebelum memulakan penggambaran, mereka akan adakan latihan intensif. Kini, baru orang faham dan ikut. Pada saya, untuk memulakan sesuatu yang positif di dalam industri, kena ada orang yang memulakan.
“Bila saya mulakan trend latihan dan buat badan dahulu sebelum memulakan penggambaran, barulah kita nampak seperti Hollywood,” katanya lagi.
Menurut Hairul lagi, perubahan tersebut menjadikan mutu filem aksi tempatan kini tampil lebih kemas dan profesional seperti produksi antarabangsa.
“Sebelum ini, bila masuk ke set, barulah nak mula koreograf gerak dan babak pertarungan. Pelakon-pelakon sekarang memang fit dan badan cantik. Masuk dalam set pun dah tahu koreografi masing-masing.
“Sepatutnya perkara-perkara seperti ini sudah lama dilakukan. Kini, barulah orang nampak sebabnya. Dahulu pun saya bertanya, kenapa perlu beriya sampai patah riuk dan penat?
“Kini, semua orang faham kenapa saya sanggup buat seperti itu dahulu. Namun, kini masa saya sudah habis,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Hairul memutuskan untuk berhenti daripada dunia lakonan pada 2023 bagi memberikan sepenuh tumpuan terhadap keluarga.
Hairul dan isteri kini sibuk menguruskan jenama fesyen mereka, Cakenis yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-10.
Pada majlis sama, Siti Khadijah Halim dan Ikmal Amry turut diumumkan sebagai wajah bagi koleksi terbaharu jenama tersebut.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini