
Penyanyi Dayang Nurfaizah menjelaskan momen yang berlaku ketika membuat persembahan bersama Hael Husaini di Konsert MeleTOP TVS, kelmarin sekadar untuk menghidupkan suasana sewaktu membawakan lagu duet, Haram.
Menurut Dayang, dia dan Hael sentiasa mahu memberikan yang terbaik demi mencipta kenangan indah bersama peminat yang menyaksikan persembahan mereka secara langsung.

“Kadang-kala orang tak tahu momen yang berlaku di atas pentas. Bila tengah menyanyi atau buat persembahan, pasti ada sesuatu yang ingin kita capai terutama bila ada momen-momen yang best.
“Bila berjaya, kita gembira. Sebagai rakan duet, kita kena sokong satu sama lain. Kita bukan sekadar menyanyi bersama tetapi saling melengkapi.
“Hael merupakan pasangan duet yang bagus bukan sahaja dengan saya tapi artis-artis lain juga.
“Dia buat saya selesa di atas pentas. Bukan senang nak jumpa rakan duet sebegitu,” katanya kepada MH.
Terdahulu, persembahan duet mereka menarik perhatian ramai apabila Hael bukan sahaja memegang tangan tetapi turut menyentuh dagu Dayang.

Malah klip persembahan tersebut turut mencetuskan tular dan menjadi perhatian warganet.
Tersentuh Dagu
Mengulas mengenai insiden menyentuh dagu, Dayang memaklumkan Hael sebenarnya mahu membersihkan gincu yang terkena di bahagian dagunya itu.

“Sebagai sahabat baik, Hael ternampak ada lipstik merah di dagu saya. Mulanya saya terkejut. Kenapa Hael ni?
“Jadi, dia tolong bersihkan. Terima kasih kepada Hael. Kalau biarkan, tak cantik pula nanti,” ujarnya jujur.
Pada masa sama, Dayang gembira apabila persembahan mereka itu berjaya menarik perhatian peminat.

“Kalau ada yang teruja, saya ingin berterima kasih. Jadi, itu bermakna kami berjaya menghiburkan para peminat malam ini.
“Doakanlah yang terbaik buat kehidupan dan kerjaya saya. Kalau boleh saya nak terus menyanyi selagi ada sokongan daripada peminat-peminat saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Hakikat Cinta ini turut mengulas mengenai kenyataan rakan artis, Misha Omar yang menyifatkan dia tidak pernah melihat Dayang segembira ini meskipun ketika memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Saya tak pernah tak senyum lebar. Kawan-kawan artis ini mereka suka menyakat dan bergurau. Itu perkara biasa,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




