Guna Namanya Untuk Sendiket Pelaburan Haram, Imam Muda Asyraf Tekad Buat Laporan Polis

Share

Pendakwah bebas dan penceramah selebriti, Imam Muda Asyraf mendedahkan dirinya telah membuat laporan polis berhubung isu penggunaan namanya dalam sendiket penipuan wang ringgit.

Menurut Imam Muda Asyraf, dia memilih untuk membuat laporan polis kerana bimbang makin ramai pihak yang akan terpedaya dengan penipuan tersebut.

“Selesai buat laporan polis. Selepas ini akan ke SKMM insya Allah.

“Sebenarnya banyak kali isu penggunaan nama dan gambar saya tanpa izin oleh pihak tidak bertanggungjawab berlaku. Pada asalnya saya tidak mengendahkannya.

“Tapi apabila memikirkan nasib mereka yang tertipu, makcik pakcik di kampung, abang-abang adik kakak yang melabur tanpa mengetahui kesahihan akaun pelaburan.

“Maka saya mengambil keputusan untuk melaporkan perkara ini kepada pihak polis,” tulisnya.

Kenyataan tersebut dikongsikan oleh juara program Imam Muda musim pertama itu menerusi akaun Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Asyraf turut menasihati orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu dan tidak mudah terpeda dengan sebarang mesej yang diterima di internet.

“Diharap kepada mereka di luar sana periksa dan berhati-hati dengan sebaran mesej Facebook seumpama ini.

“Bukan sekali dua. Tetapi terlalu banyak dalam pelbagai akaun berlainan.

“Diharap perkara ini dapat dibendung oleh pihak berkuasa. Sekian,” jelasnya lagi.

Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan tindakan yang dilakukan.

Sumber: Instagram Imam Muda Asyraf

IKLAN