Sedang menanti detik bergelar bapa, pelakon Jehan Miskin, 41, dan isteri, Julie Camelia Rhee Abdullah, 36, akui tidak sabar menantikan kelahiran cahaya mata sulung mereka selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Jehan menerusi laporan Harian Metro berkata, mereka sebenarnya tidak terfikir menimang cahaya mata sebelum ini sehinggalah Julie menyatakan hasrat mahu menjadi ibu tahun lalu.

“Sebenarnya masa mula-mula kahwin, kami tidak fikir sangat soal cahaya mata kerana kami bahagia berdua.

“Namun, memikirkan kami sudah lama bersama, kami terbuka hati dengan idea (anak) itu beberapa tahun kebelakangan ini, lebih-lebih selepas bapa saya meninggal dunia.

IKLAN

“Tiba-tiba isteri menyatakan keterujaan betapa gembiranya dia jika memiliki seorang anak tahun lalu. Alhamdulillah, dia terus hamil pada minggu yang sama,” katanya.

Sambil menzahirkan rasa syukur, bintang filem Qaisy & Laila itu turut terkejut dengan berita gembira itu apatah lagi rezeki untuk timang zuria hadir dengan begitu pantas.

IKLAN

“Kami sebenarnya jangka usaha itu akan mengambil masa beberapa tahun. Namun, saya sangat bersyukur ia terus terjadi kerana saya pun sudah berusia 41 tahun.

IKLAN

“Lagipun, kami memang sudah bersedia untuk ada anak. Ia ibarat bonus kejutan di waktu pandemik ini memandangkan kita tidak dapat melancong ke luar negara,” katanya.

Terdahulu, Jehan berkongsi kegembiraannya tidak sabar menjadi bapa September lalu dan pasangan ini mendirikan rumah tangga sekitar tahun 2013.

Foto: Instagram Jehan Miskin

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI