Persembahan memukau penyanyi Dayang Nurfaizah yang mengalunkan 25 buah lagu termasuk yang disampaikan secara medley di konsert solo sulung di Esplanade, Singapura diakui menjadi satu momen manis buat profil kerjaya penyanyi berkenaan.
Dayang ketika ditemui MH sejurus selesai konsert memberitahu, meski rata-rata penonton memberi komen positif terhadap persembahannya pada malam itu, dia tidak boleh menyembunyikan rasa gementar kerana ini merupakan sebuah konsert berskala mega pertamanya di negara luar.
“Bila mula saja langkah untuk masuk ke pentas, tiba-tiba rasa nervous. Biar jarak untuk ke tengah pentas daripada pintu masuk tidaklah jauh, tp saya rasa mcm panjang saja langkah. Bagaimanapun mujurlah, bila tengok peminat yang tidak putus-putus beri semangat, secara tidak langsung rasa gemuruh itu berkurangan. Sebab itulah saya selalu kata saya nervous bila nak sampaikan lagu seterusnya.
“Akan tetapi, alhamdulillah semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan,”kongsi Dayang yang mengambil inesiatif memilih lagu yang bakal dinyanyikan adalah menerusi permintaan pada peminat setianya.
“Saya ada juga tanya lagu apa yang peminat mahu dengar pada malam konsert. Jadi tadi merupakan antara lagu terpilih. Malah saya sendiri pun ada tidak nyanyikan lagu yang dipinta sejak sekian lama,”kongsi Dayang yang turut bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) Februari depan menerusi lagu Separuh Matiku Bercinta.
Sementara itu, penyanyi ini turut merakamkan rasa kasih kepada Naza Kia Malaysia yang telah menaja tiga model kenderaan iaitu Kia Grand Carnival, Kia Sportage dan Kia Sorento bagi membawa rombongan media Malaysia untuk menonton konsert berkenaan baru-baru ini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI