
Setelah sekian lama peminat berteka-teki, Astro akhirnya memperkenal barisan bintang yang akan bertanding di program realiti popular, Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).
Membawakan tema GV-Verse, GV12 bakal menyaksikan persaingan sengit di antara barisan peserta daripada Malaysia, Singapura dan Indonesia!
GV12 bakal memulakan saingannya pada 2 November depan, jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria (saluran 104).
Kesemua mereka merupakan antara penyanyi yang pernah mencetuskan fenomena sewaktu di zaman kegemilangan malah, lagu-lagu mereka juga masih malar segar sehingga hari ini.
Gamit Memori, Terubat Rindu!
Ia sekali gus bakal mengubat kerinduan para peminat yang sudah lama berhasrat untuk menyaksikan bintang kesayangan mereka kembali bersinar di pentas besar.
Selain menggamit kenangan, GV12 juga secara lazimnya bakal membuka lembaran baharu buat setiap bintang yang bertanding.
Bintang GV12 terdiri daripada Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam dan Nubhan bersama duo pop Freshies (Ejie dan Shima).



Turut bersaing termasuklah bintang dari Indonesia iaitu Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana).

Sementara itu, penyanyi Iskandar Ismail menjadi satu-satunya peserta tunggal yang mewakili Singapura.
Manakala, penyanyi dan pelakon, Shy8 atau lebih sinonim dengan panggilan Usop Wilcha pula merupakan peserta wildcard.


Setelah sekian lama menyepi, kemampuan 11 penyanyi solo dan dua kumpulan ini bakal diuji mengikut tugasan yang akan diberikan setiap minggu.
Mereka juga perlu berusaha menampilkan persembahan memukau dan berani keluar daripada zon selesa untuk menambat hati juri dan peminat.
Pada musim ini, pihak Astro masih mengekalkan maestro muzik, Datuk Ramli MS sebagai ketua juri di samping Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang.
Pelawak dan penyampai radio, Nabil Ahmad kekal sebagai pengacara dan akan bergandingan bersama rakan hos, Sherry Alhadad.
GV12 akan berlangsung selama 12 minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam.
Rancangan hiburan keluarga ini juga boleh ditonton menerusi platform Astro One dan sooka.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




