
Sering dilihat hadir memberi sokongan di konsert rakan-rakan artis, penyanyi Misha Omar mendedahkan, dia tidak pernah mengharapkan tiket percuma setiap kali menghadiri acara sebegitu.
Menurut Misha, dia lebih gemar membeli dan menonton konsert secara langsung kerana mahu merasai pengalaman sebenar muzik ‘live’ serta menghargai karya anak seni tempatan.

“Saya sukakan bunyian muzik secara langsung. Bila saya masuk ke dalam dewan konsert, ia seperti ‘escapism’ buat saya daripada dunia realiti.
“Pada usia sebegini, saya tak nafikan, pergi ke konsert ini seumpama masuk ke mesin masa. Kita mahu bernostalgia.
“Lagu-lagu yang kita akan dengar dan dipersembahkan secara langsung itu akan buat kita terimbas dengan kehidupan lalu. Kita akan ingat waktu-waktu susah yang kita lalui sewaktu lagu tersebut diterbitkan.
“Mungkin juga lagu itu hadir ketika kita meraikan kejayaan dalam hidup. Saya suka momen-momen seperti itu,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Break itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada Sesi Bersama Media menjelang Konsert ‘Dia Misha Omar’ di Icon City, Petaling Jaya pada Selasa.
Tambahnya lagi, kehadirannya ke konsert artis lain bukan untuk mengharapkan balasan atau sokongan yang sama daripada rakan-rakan industri.

“Saya suka meraikan dan menghargai karya-karya orang lain. Saya melakukan itu semua tanpa mengharapkan apa-apa.
“Tak bermakna bila saya datang ke konsert artis lain, mereka juga mesti datang ke konsert saya.
“Saya pergi atas nama seni. Sebelum ini, saya selalu juga datang menonton pementasan teater yang berskala kecil. Saya meraikan semua orang,” ujarnya lagi.
Sokong Industri, Beli Tiket Tanpa ‘Privilege’
Dalam pada itu, Misha turut berpendapat, dengan membeli tiket menggunakan duit sendiri, dia sebenarnya turut menyumbang kepada pembangunan industri seni tempatan.

“Saya nak tunjuk yang saya juga menyokong pembangunan industri seni tempatan. Saya tak ‘hamak’ tiket percuma.
“Tanyalah mana-mana penganjur, saya tak pernah meminta. Semuanya saya beli sendiri.
“Tak kisahlah sama ada duduk atas atau bawah. Saya battle sendiri. Saya nak peminat tahu yang saya juga sama seperti kalian,” kongsinya lagi.
Malah Misha juga terharu apabila ahli keluarganya turut memilih untuk membeli tiket sendiri sebagai tanda menghargai kerja kerasnya sebagai anak seni.
“Memang ada yang bertanya (tiket percuma) tapi saya jelaskan secara baik. Malah, ahli keluarga saya termasuk suami, adik beradik, sepupu dan anak buah juga beli tiket konsert saya.
“Mereka pun tak nak tiket percuma. Katanya, mereka sudah melihat usaha keras saya selama ini. Jadi mereka nak hargai saya.
“Nilai tiket ini bukan gaji saya sahaja tapi merupakan gaji untuk semua pihak yang terlibat. Anda juga yang mahukan muzik gred A.
“Jadi, saya bawakan pemuzik yang terbaik. Saya bukan scammer yang hanya kaut duit sahaja. Bila persembahan itu eksklusif dan berbayar, anda tidak akan dapat suasana seperti konsert percuma,” akhirinya.
Konsert ‘Dia Misha Omar’ bakal berlangsung pada 29 November depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, menjanjikan sebuah persembahan istimewa buat para peminatnya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!










