Berita

Fattah Amin Respon Dakwaan Tak Bayar Yuran Fatima, Persoal Kebocoran Maklumat – “Selebihnya Saya Tak Mahu Komen Sebab…

Share

Pelakon Fattah Amin tampil meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa menjadi mangsa fitnah daripada sebuah akaun di platform Threads.

Menerusi satu hantaran di aplikasi sama, Fattah menjelaskan sebelum ini dia memilih untuk tidak melayan perkara-perkara remeh.

Namun, menurutnya, naratif yang dibawa akaun berkenaan kini sudah melampaui batas apabila melibatkan soal peribadi.

Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk isu kononnya yuran persekolahan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, tertunggak, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana maklumat sulit itu boleh diperoleh oleh pihak luar.

“Saya sejujurnya tidak kisah atas benda-benda remeh dan fitnah yang selama ini awak cipta.

“Tapi rasanya naratif yang digunakan, fitnah yang disebarkan ini dah semakin melampau.

“Pertama tentang yuran yang tertangguh, sila semak dengan pihak sekolah Fatima sekarang tentang yuran tersebut. Sebab nampak gaya awak seperti ada maklumat tentang semua hal melibatkan saya dan bekas isteri.

“Jadi bagaimana info-info dalaman ini diketahui awak? Bukankah ianya adalah sulit di antara pihak sekolah dan ibu bapa?” soalnya.

Sudah Buat Laporan Kepada PDRM & SKMM

Dalam hantaran berasingan, pelakon filem Mat Kilau itu memaklumkan dia telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung hantaran berkaitan daripada akaun terbabit.

“Kedua saya dah lama melaporkan akaun awak ini kepada PDRM dan SKMM sebab dah bertahun-tahun awak wujudkan fitnah ini.

“Tapi sampai sekarang masih tiada tindakan. Selebihnya saya tidak mahu komen sebab anda semua boleh menilai bahasa dan kata- kata akaun ini,” kongsinya lagi.

Fattah Seru Orang Ramai ‘Report’

Dalam masa sama, bapa kepada dua cahaya mata itu turut menggesa orang ramai menggunakan fungsi ‘report’ terhadap akaun berkenaan yang disifatkannya boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Malah, dia juga mengingatkan orang ramai mengenai larangan menyebarkan fitnah, khususnya dari sudut ajaran Islam.

“Jadi mungkin dah sampai masa kita gunakan ‘button report’ ini beramai-ramai supaya akaun ini tidak wujud di kalangan masyarakat kita.

“Sebab ia boleh memecah-belahkan keharmonian rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa dan sopan santun. Sebagai orang Islam fitnah adalah dilarang.

“Berdasarkan Surah An-Nur ayat ke-19, sesungguhnya orang-orang yang suka tersebarnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat,” akhiri perkongsiannya.

Terdahulu, sebuah akaun di platform Threads mendakwa juara Hero Remaja 2011/12 itu gagal untuk melunaskan tunggakan yuran persekolahan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya.

Untuk rekod, Fattah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Nur Fazura pada 27 November 2017 sebelum sah bercerai talak satu pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun melayari alam perkahwinan.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza