
Duo pereka fesyen dari FM Group, Farel Mikhail dan Jonathan Kok, berdebar menanti reaksi masyarakat terhadap lagu raya pertama terbitan mereka, Si Gadis Lebaran, yang dinyanyikan oleh Aliff Azman.
Lagu ciptaan bersama Tya Amida dan Farel sendiri ini merupakan satu percubaan berani oleh FM Group dalam meneroka bidang muzik.
Menurut Farel, yang juga Pengarah FM Group, keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu hadir setelah melihat usahawan selebriti terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri yang berjaya menapak dalam dunia nyanyian.
“Tak dinafikan memang ada yang cakap, kalau dah jadi designer tu, tak payah sibuk nak cipta dan terbitkan lagu. Fokus sahaja dunia fesyen katanya.
“Bagi saya dan Jonathan, tak salah kami nak mencuba sesuatu yang baharu. Lagi pun fesyen dan dunia seni saling berkaitan. Belum cuba belum tahu.
“Biarlah apa orang nak cakap, kami ambil semangat Datuk Seri Aliff Syukri yang berani mencuba sesuatu yang baharu. Lihat beliau, orang nak kata apa sekalipun, dia tetap teruskan menyanyi.
“Beliau inspirasi kami. Semangat serta keberanian yang ditonjolkan dalam media sosial sebenarnya memberi dorongan kepada kami mahu pun orang lain yang mungkin masih ragu-ragu membuat keputusan dan takut menanggung risiko.
“Selain itu, antara tujuan kami buat lagu raya ini bukanlah sekadar nak memeriahkan sambutan Syawal dan industri muzik, tapi juga nak berkongsi bakat dalam bidang penulisan lagu,” katanya.
Farel berkata demikian ketika ditemui dalam acara Beautiful Malaysia: Celebrating Malaysia Foods, Arts, Culture and Fashion di Grandmama, Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur.
Si Gadis Lebaran Inspirasi Dari Siti Nurhaliza
Lagu Si Gadis Lebaran mengisahkan seorang wanita yang kelihatan anggun dan bergaya di pagi raya, dengan kejelitaannya semakin menyerlah apabila mengenakan busana tradisional Melayu.
Farel tidak menafikan bahawa penghasilan lagu ini adalah langkah pertamanya untuk lebih serius dalam bidang muzik.
“Ketika membuat lirik lagu ini, saya terbayangkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ini kerana, penampilan beliau yang sinonim dengan imej wanita Melayu.
“Bukan itu sahaja, beliau juga antara penyanyi yang mempunyai banyak lagu raya yang popular dan menjadi siulan ramai.
“Beliau juga merupakan bintang yang sentiasa memartabat budaya Melayu. Kami kagum sangat, di sebalik nama besar yang dibina, beliau tak pernah lupa akar budaya kita,” katanya.
Menurut Farel, percubaan pertamanya mencipta lagu dan lirik merupakan langkah awal sebelum melangkah lebih jauh dalam dunia muzik.
“Ada juga yang bertanya, kenapa tidak kami saja yang nyanyi lagu tersebut. Sebenarnya saya tiada bakat dalam menyanyi, tapi dalam cipta lirik dan melodi tu, saya berusaha yang terbaik dalam menggilap bakat yang ada.
“Saya sebenarnya serius dalam bidang ini. Selepas ini mana tahu saya boleh cipta lagu dan bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL). Insya-Allah, kalau ada rezeki, kita tak mampu tolak.
“Namun, masih banyak yang perlu saya belajar lagi. Kena buat banyak research, hadiri kelas yang sesuai dan mungkin dalami seni muzik. Semua itu perlukan proses,” katanya.
Martabatkan Fesyen Tradisional
Dalam acara sama, Farel dan Jonathan turut mempersembahkan koleksi rekaan mereka, iaitu 13 jenis busana wanita Melayu dari pelbagai negeri di Malaysia.
“13 jenis rekaan busana wanita Melayu di Malaysia yang kami bawakan bukan sahaja sesuai dipakai ketika hari raya, malah pada hari lain juga. Boleh dikatakan juga 13 rekaan itu mewakili setiap negeri di Malaysia.
“Rekaan bermotifkan songket serta batik ini berinspirasikan wanita Melayu misalnya Puteri Perak untuk negeri Perak, Cik Siti Wan Kembang (Kelantan), Kebaya Sulam (Pulau Pinang), Kurung Riau (Johor) dan banyak lagi.
“Untuk 13 rekaan ini, saya turut bekerjasama dengan pereka fesyen dari Sarawak, Melakar, Pulau Pinang dan Kedah dalam memenuhi tema tradisional wanita Melayu,” katanya.
Malah Farel optimis menjelaskan Beautiful Malaysia adalah salah satu usaha dalam mengekalkan seni kebudayaan negara dan turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Untuk rekod, FM Group yang juga penganjur festival fesyen Precious of Malaysia sebelum ini pernah menerbitkan buku Pesona Kebaya secara eksklusif.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, berkenan mencemar duli melancarkan buku Pesona Kebaya – Enchanting of Kebaya (Dwi-Bahasa) itu di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, tahun lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI