Berita

Fadlan Hazim Masih Bertahan Demi Seni, Namun Akui Tidak Mampu Menunggu Selamanya – “Dalam Proses Itu, Saya Tak Pernah Berhenti Mencuba…”

Share

Pelakon, Fadlan Hazim menegaskan dirinya masih mempunyai semangat dan cinta yang mendalam terhadap dunia seni, meskipun sebelum ini pernah mengakui agak tawar hati dengan industri hiburan tempatan.

Menurut Fadlan, jika suatu hari nanti dia mengambil keputusan untuk berputus asa, ia bukan kerana hilang semangat, sebaliknya disebabkan sudah terlalu penat menunggu dan perlu mencari haluan hidup yang baharu.

“Ketika ini, saya cuma bergantung kepada rezeki. Sebagai seorang pelakon selain turut pernah menjadi penyanyi, saya anak seni yang sangat komited.

“Seni itu tidak akan pernah hilang dalam diri saya. Jika satu hari nanti saya berputus asa, ia bukan berlaku kerana saya hilang semangat tetapi saya sudah penat menunggu.

“Saya bukan hanya menunggu sahaja. Dalam proses itu, saya tidak pernah berhenti mencuba selama bertahun-tahun.

“Saya cuba rebrand diri dan tambah skil baharu. Saya berbaiki setiap kelemahan,” katanya kepada MH.

Fadlan berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Nar’sata: Sekutu Setan, baru-baru ini.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/saya-tak-tahu-mereka-pun-tak-ajak-fadlan-hazim-ulas-ketiadaan-dalam-reunion-vip-akui-hubungan-masih-baik-dengan-bekas-ahli/

Tanggungjawab Sebagai Suami Jadi Penguat Semangat

Dalam masa sama, Fadlan tidak menafikan tanggungjawab sebagai seorang suami membuatkan dia tidak boleh terlalu lama berada dalam situasi yang tidak menentu.

“Saya tak boleh menunggu terlalu lama. Saya sudah punyai isteri dan ada perancangan untuk menambah ahli keluarga. Saya kena berusaha mencari nafkah.

“Saya tak mahu menjadi sesetengah orang yang suka meminta-minta. Jika peluang saya tiada lagi di sini, saya akan cari peluang di tempat lain,” ujarnya lagi.

Malah, Fadlan turut menzahirkan penghargaan kepada beberapa rakan artis yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat untuk dirinya terus bertahan dalam industri.

“Saya ingin berterima kasih kepada Shukri Yahaya, Andy Teh dan rakan-rakan artis yang sentiasa memberikan semangat. Saya bekerja bukan hanya sekadar mencari rezeki. Saya memang suka berlakon dan lihat proses kreatif itu.

“Apa sahaja perjalanan watak untuk menyampai mesej kepada penonton, saya sangat menikmatinya. Jadi, mereka ini antara individu yang nampak kesungguhan saya.

“Saya memang ikhlas dan bersamangat bila berkarya. Mereka juga sekapal dengan saya. Mungkin mereka juga pernah lalui apa yang saya rasa.

“Jadi, saya mahu berterima kasih dan amat bersyukur kerana dapat mengenali mereka,” akhirinya.

Sebelum ini, Fadlan pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada dunia seni selepas merasakan bakatnya tidak diendahkan.

Susulan kenyataan tersebut, rata-rata peminat meluahkan rasa terkejut selain rakan-rakan artis turut memberikan kata-kata semangat.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Kredit Foto: Instagram Fadlan Hazim

Published by
Aizam Manaf