
Ezaidi Aziz
Pelakon, Ezaidi Aziz percaya kecantikan dan ketampanan sebenar tidak hanya bergantung kepada perubahan fizikal menerusi pembedahan kosmetik semata-mata, sebaliknya ia bermula dengan penjagaan kulit yang sihat serta memiliki hati yang bersih.
Ezaidi atau nama penuhnya Mohamed Ezaidi Abdul Aziz, 32, berpendapat, bagaimana seseorang itu menjaga diri dan mengutamakan kesihatan kulit adalah nilai ‘kecantikan’ yang sebenar.
“Bagi saya, disiplin dalam menjaga kulit supaya kekal bersih dan sihat adalah definisi cantik yang sebenar, tidak perlu pun merubah wajah asal kita. Setakat ini belum terfikir ke arah itu.
“Apabila seseorang menjaga asas penjagaan kulit yang betul, secara automatik akan nampak okay. Berbanding buat muka, yakin ke dah buat muka jadi cantik? Takut boleh ada kesan sampingan selain membahayakan diri.
“Syukur alhamdulillah (dikurniakan wajah tampan), tetapi di luar sana ramai lagi lelaki yang kacak. Tetapi apa yang ingin saya tekankan, untuk apa buat wajah cantik tapi hati kotor, tak bersih,”katanya.
Ezaidi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media khas sempena pelantikannya sebagai duta produk penjagaan kulit BAARS yang berlangsung di ibu negara, pada Sabtu.
Baca Artikel Lain;
Mengulas lanjut mengenai trend pembedahan kosmetik, pelakon drama Isteri Rahsia Ungku Jabbar itu berpandangan setiap individu berhak membuat pilihan masing-masing.
Namun, secara peribadi, dia kurang bersetuju dengan tindakan mengubah wajah tanpa keperluan spesifik.
“Setiap orang ada pendapat sendiri, tetapi kalau tanya saya, kurang bersetuju buat muka. Jika ada yang ambil keputusan untuk merubah wajah mereka, itu terpulang.
Hanya mereka tahu apa tujuan sebenar berbuat demikian. Saya lebih percaya seseorang itu akan nampak lebih menarik apabila menjaga kesihatan kulit dan mengamalkan rutin penjagaan wajah yang betul.
Itu lebih selamat dan memberikan keyakinan kepada diri sendiri,”katanya lagi.
Berkongsi mengenai pelantikannya sebagai duta BAARS pula, Ezaidi menyifatkan peluang tersebut sebagai satu pencapaian bermakna dalam perjalanan kerjayanya.
Lebih-lebih lagi apabila dia sendiri pernah merancang untuk memperkenalkan produk penjagaan kulit sendiri.
“Saya percaya lelaki zaman sekarang ramai yang sudah mementingkan penjagaan kulit muka. Saya bersyukur dilantik sebagai duta, ia satu lagi pencapaian untuk diri saya juga
“Malah kebetulan, saya pernah ada perancangan untuk keluarkan produk muka sendiri, tetapi belum ada rezeki. Tidak sangka akhirnya dapat peluang jadi duta produk penjagaan kulit, BAARS.
“Saya ambil tanggungjawab dan produk ini sangat bagus kerana membantu mengawal minyak, mencerahkan kulit, melakukan pembersihan mendalam (deep cleanse), mengurangkan masalah jerawat, menenangkan kulit (soothing) serta memberikan kesegaran,” katanya lagi.
Sementara itu, pengasas BAARS, Mohamed Aqbar Hakim Jasman berkata, pemilihan Ezaidi dibuat berdasarkan kredibiliti, personaliti serta aura yang dimiliki pelakon berkenaan.
“Ezaidi memiliki satu kriteria dan aura yang sangat sesuai dengan jenama ini. Ia bukan soal ada jumlah pengikut yang ramai atau popular, tetapi bagaimana dia boleh membawa jenama ini akan lebih dikenali.
“Pertama kali jumpa, dia terus bercakap mengenai visi dan misi sekiranya dilantik sebagai duta. Ezaidi juga memiliki rupa yang tampan dan unik, pada pandangan saya.
“Saya tidak lihat muka Ezaidi ini sama dengan mana-mana artis di luar sana dan sangat mudah untuk bekerjasama,” katanya yang optimis Ezaidi mampu memperkukuhkan lagi jenamannya dalam pasaran tempatan.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.