
Pelakon Ezaidi Aziz menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan usahanya untuk kembali membina badan dengan tujuan untuk mencari sumber pendapatan haram.
Ezaidi atau nama sebenarnya Mohamed Ezaidi Ab Aziz, 31, menjelaskan, keputusannya kembali aktif menjalani latihan di gimnasium adalah semata-mata bagi memenuhi tuntutan kerjaya sebagai pelakon.
“Eh, tidaklah. Saya tidak terlintas untuk ada tujuan ke arah itu pun. Memang tidak pernah terfikir.
“Saya kembali buat badan seperti dulu kerana komitmen kerja. Hanya untuk nampak kesihatan diri sendiri dan tambah keyakinan untuk diri sendiri di dalam skrin.
“Sebelum ini saya sedang dalam penggambaran dan watak yang diberi pun meminta saya menjadi seakan-akan Prince Mateen iaitu segak dan tegap.
“Jadi saya ambil inisiatif untuk bina badan balik. Itulah tujuan sebenarnya. Yang pasal cari duit haram tu, saya tidak ada hak untuk halang sesiapa untuk bercakap. Cukup saya sendiri tahu niat saya sebenarnya,” katanya.
Tambah Ezaidi lagi, perubahan fizikal yang dilalui selepas beberapa bulan menjalani latihan turut memberi kesan positif terhadap tahap keyakinan dirinya.
“Kalau dahulu saya kurus, rasa macam tak berapa yakin, tapi sekarang ini saya ada rasa yakin dan selesa berhadapan dengan orang.
“Saya sebenarnya ada masalah kurang keyakinan diri, dan pemalu. Jadi saya rasa ini buat saya sedikit sebanyak tambah keyakinan diri saya,” katanya lagi.
Baca Artikel Lain;
Dalam masa sama, Ezaidi mengakui kurang memahami mengapa dakwaan sedemikian dilemparkan terhadap dirinya dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai sesuatu yang tidak wajar.
Malah, dia berpendapat setiap spekulasi yang timbul seharusnya dirujuk kepada individu terbabit terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada umum.
“Saya tak tahu kenapa dia komen seperti itu. Bagi saya, kita ni manusia tak lari dari buat salah. Jangan cepat menghukum orang sebab takut kata kata itu berbalik kepada kita balik.
“Kalau tidak tahu cerita yang sebenarnya, sepatutnya lebih baiklah kita tidak berkata apa-apa.” katanya.
Terdahulu, hantaran Ezaidi di Threads yang memaparkan dirinya sedang membina badan baru-baru ini mengundang kecaman daripada segelintir netizen.
Malah, ada yang mendakwa tindakannya itu bertujuan untuk ‘memancing’ golongan kenamaan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini