Statusnya sebagai seorang artis dan pelawak yang dikenali ramai tidak pernah mengubah kehidupan Abam, apatah lagi rutin yang sering dilaluinya ketika menyambut Aidilfitri saban tahun.

Meski rezeki semakin murah, anak kelahiran Gombak ini tetap tidak pernah melupakan kesusahan yang pernah dilalui sebelum ini dan sentiasa mengingatkan dirinya untuk bersederhana ketika menyambut raya.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, kehidupan saya sebelum bergelar artis memang agak susah  sehinggakan kami pernah tidak dapat membuat persiapan raya kerana kekangan kewangan.

 

“Setiap kali teringatkan waktu itu saya akan pasti akan merasa sebak, tetapi itulah kenyataannya di mana saya pernah memakai baju raya yang sama selama enam tahun kerana hanya itu sahaja baju raya saya yang ada.

 

“Oleh sebab itulah bila saya menang program Maharaja Lawak Mega buat pertama kali pada tahun 2013, saya peruntukkan sejumlah wang untuk membuat persiapan yang agak beria sedikit kepada keluarga termasuk duit raya untuk makcik dan pakcik yang sebelum itu tidak pernah merasa duit raya dari saya,” cerita Abam jujur.

Enam Tahun Abam Pakai Baju Raya Sama

IKLAN

Suatu yang menarik tentang Abam juga, meskipun sudah dikenali ramai, dia tidak pernah meninggalkan perniagaan lemang yang diusahakan oleh nenek dan bapa saudaranya sejak sekian lama.

IKLAN

“Memang dari kecil lagi saya dah biasa tolong nenek dan pakcik berniaga lemang di mana saya terlibat daripada proses awal mencari buluh, menyediakan bahan-bahan, membakar sehinggalah menyerahkan kepada pelanggan dan semua itu masih saya lakukan sehingga ke hari ini.

 

“Tiada sebab saya nak rasa malu kepada peminat atau siapa sahaja kerana memang itulah punca rezeki musim raya kami selama ini,” katanya.

Menyebut tentang raya juga, Abam turut meluahkan kenangan raya  yang tidak dapat dilupakan ketika arwah bapanya masih lagi ada dan meraikan 1 Syawal bersama mereka adik-beradik.

IKLAN

“Setiap kali pagi raya, arwah ayah mandikan kesemua anak lelakinya sempena mandi sunat Aidilfitri dari kami masih kanak-kanak sehinggalah masing-masing sudah besar.

 

“Namun selepas ayah meninggal lebih lapan tahun lalu, kami tidak lagi mempunyai kebiasaan itu dan itulah yang saya sangat rindukan.

 

“Insya-ALLAH suatu hari nanti jika saya mempunyai anak, saya juga akan melakukan perkara yang sama  sebagai rutin pagi raya kami nanti untuk mengeratkan kasih sayang antara saya dan anak,” ujar Abam yang menggemari rendang ayam pencen ini lagi.

Menurut Abam lagi, menjadi kelaziman buatnya juga selepas bergelar artis untuk mengadakan rumah terbuka setiap kali hari raya.

“Rumah Terbuka saya ini memang terbuka untuk semua, bukan hanya untuk keluarga dan saudara-mara sahaja tetapi juga kepada mana- mana peminat yang sudi nak datang beraya dengan saya.

 

“Pada hari ini saya memang akan meluangkan sepenuh masa saya untuk melayan tetamu yang datang kerana pada waktu-waktu lain saya pula yang akan sibuk beraya kat rumah orang lain,” katanya.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI