Elica Paujin Juara Big Stage 2022, Terima RM100,000 & Trofi

Tepati ramalan, Elica Paujin, diangkat sebagai juara Big Stage 2022 pada pentas akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, malam tadi.

Kemenangan peserta kelahiran Tambunan, Sabah berusia 23 tahun itu melayakkannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi.

Elica membawakan lagu Cinta (Marsha Milan) dan Believer (Imagine Dragons) dengan baik sekaligus mendapat komen positif barisan juri dengan mengumpul markah sebanyak 78.93 peratus. 

Naib juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi pula diraih Danial Chuer.

Dua bintang berbakat besar ini dianggap sebagai antara pesaing terkuat susulan persembahan konsisten sepanjang musim keempat program realiti itu.

Aisha Retno pula diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 serta trofi.

IKLAN

Sementara itu Yazmin Aziz meraih markah sebanyak 59.35 peratus di tempat keempat manakala Tegar Septian pula menduduki tempat kelima.

Konsert akhir Big Stage 2022 yang dihoskan Alif Satar dan Sherry Alhadad menampilkan juri tetap Ajai dan Datuk Seri Siti Nurhaliza di samping Alif Aziz sebagai Juri Juara.

Elly Mazlein di posisi Juri Pedas dan Datuk Seri Vida kekal sebagai Presiden Netizen. Aina Abdul pula diundang sebagai Juri Jemputan.

Final Big Stage 2022 bertemakan Utimatum Solo & Duet.

Terdahulu, seramai sepuluh BBNU dari Malaysia telah terpilih untuk beraksi di pentas Big Stage 2022, manakala dua bintang lain yang turut tersenarai adalah peserta dari Brunei dan Indonesia.

Big Stage 2022 masih mengekalkan format asal penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu berdasarkan pemarkahan oleh barisan panel juri dan undian peminat secara online.

IKLAN

Untuk bahagian pertama, 100% keputusan ditentukan oleh panel juri yang akan menilai para bintang berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan sewaktu persembahan mingguan.

Tiga bintang yang mendapat markah terendah akan melalui proses penjurian untuk bahagian kedua yang ditentukan berdasarkan undian peminat secara dalam talian.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.