Pelakon dan pengacara Elfira Loy mendedahkan, permulaan kariernya dalam industri seni bukan kerana minat, tetapi demi membantu ibunya, Filzah Yusoff, menambah pendapatan bagi menampung keperluan adik-beradik.
Menerusi podcast Wardah Heart to Heart bersama Dayah Bakar, Elfira antara lain mengakui sifatnya yang ‘introvert’ membuatkan dia tidak begitu selesa dengan dunia lakonan.
Bagaimanapun, dia mula melihatnya sebagai sumber rezeki untuk keluarga.
“Sebenarnya kenapa saya mula berlakon sebab nak tolong ibu saya saja. Orang ingat saya suka berlakon tetapi sebenarnya tidak.
“Masa pertama kali saya dapat bayaran, saya ingat lagi ketika itu saya buat teater. Selepas saya dapat bayaran, saya macam ‘eh dapat duit… oh kerja ini boleh tolong ibu saya.’
“Walaupun saya memang tak suka berlakon dan merupakan orang yang ‘introvert’ tetapi disebabkan kerja ini boleh membantu ibu, saya buat.
“Ibu saya pun tak tahu yang saya tak suka berlakon. Saya buat-buat suka saja. Saya dari dulu suka pendam perasaan sebab ibu saya hanya ada saya.
“Kalau saya sedih, semestinya dia dua kali ganda sedih. Jadi, disebabkan itu, hati saya keras dan dibawa sampai sekarang,” katanya.
Ujian Kehidupan
Dalam pada itu, Elfira, 31, mengakui fasa perceraian ibu bapanya memberi kesan mendalam. Sebagai anak sulung, dia merasakan tanggungjawab besar untuk menjadi kuat demi adik-beradik.
Katanya, pengalaman putus tunang pada tahun 2018 juga merupakan salah satu episod paling sukar dalam hidupnya.
Ads
“Saya tak pernah cerita dekat orang. Saya seorang yang kuat kerana melalui fasa ibu bapa yang berpisah, dalam masa sama kena besarkan adik beradik. Saya rasa itu bebanan yang kuat.
“Yang lagi berat ketika saya putus tunang. Saya tak sangka orang boleh buat macam itu (dekat diri). Saya tak pernah cerita apa yang saya rasa pada masa itu.
“Ketika wartawan bertanya, saya diam, tak pernah cakap apa-apa. Itu perkara terbesar yang berlaku dalam kehidupan saya.
“Selama saya jadi pelakon, tak pernah ada gosip seperti itu. Tetapi disebabkan kontroversi itu, orang hilang hormat dekat saya.
“Apa yang saya pertaruhkan untuk menjaga nama baik sebelum ini, terus bertukar menjadi sia-sia.
“Tetapi hikmah yang dapat adalah saya tidak ada tempat lain yang ingin dituju. Jadi, saya banyak menghabiskan masa di masjid.
“Itu menjadi titik perubahan dalam kehidupan saya. Alhamdulillah, perjalanan selepas itu saya nampak Allah bagi semua yang saya nak cuma satu saja tidak dapat,” katanya lagi.
Ads
Hijrah & Usaha Sebar Kebaikan
Bercerita mengenai penghijrahan dirinya pula, Elfira atau nama sebenarnya, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga, rakan-rakan, dan peminat.
Dia juga sentiasa berpegang kepada nasihat seorang ustazah yang pernah ditemuinya.
“Saya terfikir juga apa yang orang lain fikirkan mengenai saya. Tetapi saya patut risau dengan perubahan yang dibuat kerana menjadi tunjang perjalanan saya.
“Dua jalur yang kita kena lalui iaitu satu untuk Allah dan satu untuk manusia. Kalau saya fikir untuk manusia saja, kesudahannya akan lupa untuk Allah.
“Saya cuba untuk seimbangkan. Alhamdulillah semua pengikut di media sosial saya tidak berasa janggal dengan perubahan dibuat.
Ads
“Saya tahu ramai orang yang takut untuk berbuat baik kerana khuatir makan diri. Tetapi buat saja, boleh jadi kebaikan itu yang akan membantu di akhirat nanti.
“Saya tahu ramai juga yang ingin berhijrah tetapi takut. Apa yang ustazah saya selalu cakap, selama mana saya buat kebaikan, saya dapat pahala. Selama mana saya tinggalkan perkara haram, saya dapat pahala,” katanya.
Anjur Usrah
Pada masa sama, Elfira turut berkongsi tentang inisiatifnya menganjurkan program usrah dengan menggunakan duit poket sendiri.
“Saya tak nak ada perasaan saya yang miliki semua ini. Bila saya ada duit, saya nak memberi. Itu yang saya buat kelas usrah.
“Memang itu adalah satu perasaan yang berat. Yela… saya penat bekerja, kenapa perlu diberikan kepada orang lain?
“It’s always miracle. Apabila saya buat, saya nampak rezeki dari Allah dengan jelas. Mungkin saya tidak dapat kasih sayang sebab dari kecil memang tak rasa dari keluarga.
“Disebabkan itu, apabila ada anak-anak, saya rasa sangat penting dan sanggup gadaikan segalanya termasuk karier dan masa muda. Saya nak anak-anak rasa kasih sayang sepenuhnya,” katanya lagi.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pengasas produk kopi tanpa bancuh Liquffe, Fadzil Ismail, meluahkan rasa kecewa terhadap beberapa artis dan pempengaruh.
Ini kerana, Fadzil mendakwa ada di antara mereka yang didakwa tidak melaksanakan tugasnya sebagai wajah Liquffe seperti yang diharapkan, menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM500,000.
Meski menyifatkan selebriti mempunyai pengaruh tersendiri selain saling memerlukan, Fadzil bagaimanapun enggan mendedahkan identiti artis yang dimaksudkan.
“Siapa artis itu, biarlah saya tidak umumkan di sini. Saya tidak berniat mahu mengaibkan sesiapa. Cuma, cukuplah apa yang berlaku ini menjadi pengajaran buat saya dan mungkin juga pengasas produk lain,” katanya.
Sehubungan itu, Fadzil mendedahkan buat masa ini, dia serik untuk menggunakan khidmat selebriti dalam pemasaran produknya.
“Kalau ditanya serik atau tak, memang saya serik untuk guna khidmat selebriti. Saya tahu bukan semua selebriti cuai menjalankan tanggungjawab mereka.
“Tetapi buat masa ini, biarlah saya sendiri turun padang mempromosikan Liquffe. Siapa lagi nak promosi produk kita kalau bukan kita sendiri?
“Bukan mudah untuk membina jenama ini. Pelbagai cabaran telah saya lalui. Ia tidak semudah yang disangka. Hanya Allah yang tahu betapa ‘sakitnya’ saya untuk menghasilkan produk ini,” katanya lagi.
Meskipun diuji, Fadzil tetap optimis dan mahu menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk terus maju dalam dunia perniagaan.
“Dalam bisnes ini, saya tak boleh pandang ke belakang lagi. Apa yang berlaku, biarlah berlalu. Saya mahu buka lembaran baru.
“Mungkin ‘jodoh’ kami dalam bisnes ini tidak panjang, tetapi di luar, kami masih boleh berkawan.
“Bisnes adalah bisnes. Jangan campur adukkan dengan urusan peribadi. Kami masih boleh berhubung, tiada masalah kerana hidup tidak berkat jika kita memutuskan silaturahim,” katanya.
Dalam pada itu, Fadzil turut memberi jaminan kepada para ejen bahawa produk yang dibangunkan ini menggunakan bahan organik dan berasaskan tumbuhan, termasuk nektar kelapa yang mempunyai pelbagai manfaat kesihatan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Ifa Raziah meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila dituduh netizen sengaja berpura-pura pengsan di acara StarVendors KL Mega Raya Fest 2025, yang berlangsung beberapa hari lalu, di KL Base, Kuala Lumpur.
Tuduhan tersebut memberi kesan mendalam kepadanya, terutama apabila niatnya yang hanya ingin memberi yang terbaik dalam acara itu disalah anggap.
“Bila saya nak menuju ke pentas utama untuk ditemu bual, sebelum itu sudah rasa mual-mual dan nak muntah. Bukan saya buat-buat, apa yang saya makan dan minum semuanya keluar (muntah).
“Kepala saya juga pening, tak boleh nak berdiri tegak. Nasiblah ada pengawal peribadi kiri-kanan yang pegang saya. Saya ada minta minyak angin sebab pening dan minta rakan media untuk tunggu sekejap.
“Kemudian saya sudah tak ingat apa-apa, sudah ‘padam’. Cuma rasa ketika itu badan saya seperti digoncang-goncang ibarat gempa bumi.
“Nak bercakap pun tak boleh tak tahu (ketika itu) saya ini hidup atau mati. Bila saya sedar, berada di hospital dan doktor tepuk bahu saya bertanya nama.
“Bila buka mata secara perlahan-lahan, saya bertanya di mana suami dan anak-anak,” katanya, berkongsi mengenai momen yang menjadi sorotan ramai itu.
Lebih memilukan, Ifa turut berkongsi bahawa ada segelintir individu yang mendoakan dirinya pendek umur pada 10 malam terakhir Ramadan.
Bagi Ifa, situasi tersebut amat mengecewakannya kerana di saat umat Islam sepatutnya saling mendoakan kebaikan, masih ada yang memilih untuk menyebarkan kebencian.
Namun, dia bersyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan terdekat yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan sokongan.
“Ketika itu, bacaan tekanan darah saya 177. Saya tiada darah tinggi, cuma darah saya rendah. Ini pertama kali saya pengsan dalam hidup dan saya tak salahkan netizen yang komen saya pura-pura pengsan.
“Malah suami sendiri pun tak percaya sehinggalah dia berkongsikan balik momen saya waktu awal-awal alami insiden itu. Barulah dia betul-betul sedar yang saya ketika itu sakit, pengsan.
“Iyalah, kita ni umur semakin meningkat. Kita ingat diri ni masih lagi muda. ‘Enjin’ pun sudah berkarat.
“Jadi disebabkan inilah ada sesuatu yang saya belajar. Walau sekuat mana kita kerja mencari rezeki sekalipun, waktu rehat itu perlu ada.
“Namun ada yang saya baca, netizen doakan agar saya mati cepat. Saya terfikir apa salah saya atau apa hutang saya pada mereka hingga sanggup mendoakan kematian orang lain?
“Kita di bulan Ramadan dan sesama Islam, kenapa nak mendoakan saya begitu? Apa pun, saya positif. Cuma bila ada komen yang sedemikian, saya jadi sedihlah. Kenapa ada yang begini kejam.
“Saya sampai menangis dan peluk suami dan dia pujuk saya untuk lebih kuar, terus berdoa dan banyakkan bersabar,” katanya lagi.
Walaupun dilanda pelbagai kecaman, Ifa menegaskan dia tidak akan patah semangat dan akan terus bangkit meneruskan perjuangan dalam industri seni dan perniagaan.
Bagi Ifa, setiap dugaan adalah ujian yang mematangkan dan menguatkan dirinya.
“Saya manusia yang jarang untuk patah semangat. Bagi saya, ada masa kita berjaya dan sebaliknya. Tak ada semua yang kita lakukan akan dapat hasil yang diharap-harapkan.
“Kita kena terus belajar dan suami turut ingatkan saya untuk sentiasa reda dan berlapang dada. Bila kita reda, kita akan rasa lebih tenang.
“Syukur, sebab saya ada keluarga, rakan dan peminat yang sentiasa memberikan sokongan. Ada di sisi walau dalam apa keadaan sekalipun, terima kasih,” katanya.
Ahad lalu, penyanyi lagu Gemerincing Rindu yang kini kian pulih, dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di ibu negara, dipercayai akibat tekanan darah rendah dan keletihan melampau.
Suami Ifa iaitu Mohd Yani Abdul Rahman kemudiannya memaklumkan isterinya itu berada dalam keadaan stabil namun masih perlu mendapatkan pemantauan susulan doktor.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon dan penyanyi, Nur Fazura, tidak menyangka lagu duet Pum Pang Raya bersama Syasya Rizal mendapat sambutan luar biasa pendengar.
Menurut Fazura, kejayaan lagu ini bukan sahaja kerana melodi yang ceria dan ‘catchy’, tetapi juga kerana mesej positif yang disampaikan.
“Kami tak jangka lagu ini akan meraih 1 juta tontonan di YouTube.
“Kami juga tidak meletakkan harapan yang tinggi. Kami hanya ingin berseronok dan lakukan apa yang kami suka,” katanya.
Fazura juga berkongsi, dia terlibat dalam pengubahan lirik untuk memastikan mesej lagu lebih bermakna.
“Alhamdulillah. Sebagai produser, saya ada ubah sedikit lirik asal. Mulanya ada bahagian fasal ‘membawang’ tapi kita ubah kepada ‘jangan mengumpat’.
“Saya gembira kerana kami dapat hasilkan lagu yang ada mesej tetapi positif. Saya boleh amalkan untuk diri sendiri dan orang di luar saya pun boleh juga,” katanya.
Fazura ditemui pada Majlis Buka Puasa Pum Pang Raya Fazura & Syasya, di Sunway Putra Mall, baru-baru ini.
Selepas kejayaan lagu raya tersebut, Fazura tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama lagi dengan Syasya pada masa akan datang.
“Saya percaya aturan Allah. Bila mereka kata akan berduet dengan Syasya, saya terus setuju.
“Ketika bersama Dolla, saya nampak Syasya yang paling menyerlah. Ahli lain juga tetap berbakat, tetapi saya lebih mengenali Syasya.
“Sebelum ini, saya pernah mengundang Dolla untuk satu persembahan. Jadi, saya lebih ingat Syasya.
“Jika diberi peluang lagi selepas ini, saya mahu berduet bersama Syasya lagi. Mungkin lagu memperkasakan wanita pula,” ujarnya lagi.
Fazura juga mengakui seronok bekerja dengan Syasya dan kagum dengan bakat serta dedikasi penyanyi muda itu.
Lebih istimewa, Pum Pang Raya juga bukan sekadar projek nyanyian buat Fazura, tetapi juga debutnya sebagai penerbit muzik di bawah label Fazura Studios.
“Untuk lagu ini, saya bukan hanya menyanyi, tetapi juga bertindak sebagai produser.
“Sebelum ini, saya pernah menerbitkan program realiti Facing Up To Fazura, tetapi ini kali pertama saya menerbitkan lagu.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya dan Syasya juga ada ubah sedikit lirik untuk menjadikannya lebih bermakna,” katanyanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.