Tsunami kebangkitan filem Melayu menerusi buah tangan terbaharu Syamsul Yusof, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus diperkatakan sehingga kini.

Setakat lima hari tayangan, Mat Kilau sudah berjaya mengumpul sebanyak RM18 juta sekali gus mencipta sejarah filem paling laris terjual di Malaysia mengalahkan filem-filem blokbuster Hollywood.

Berasa ‘tidak keruan’ kerana masih belum berkesempatan menonton filem Mat Kilau, pelakon Azhan Rani ternyata berbangga dengan Syamsul serta seluruh tenaga kerja filem itu termasuk barisan pelakonnya.

Menerusi laman Instagramnya, Azhan mengakui dia sentiasa menantikan update mengenai jumlah kutipan tiket filem terbitan Studio Kembara itu dari hari ke sehari.

“Hati ini menggelintat nak ke panggung, tapi masih belum berkesempatan. Tapi sejak hari pertama filem Mat Kilau ini jadi fenomena, aku dah macam musim Covid dulu.

“Masa tu hari-hari tunggu angka kes dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)… tapi sekarang hari-hari teruja nak tengok jumlah kutipan tiket yang tak pernah tercipta dalam sejarah cinema Malaysia.

“Masa era pandemik haritu, aku cuma nampak zaman gelap cinema Malaysia. Panggung tanpa cerita baharu, ada pun orang dah tak yakin tengok.

“Statement ‘sorry saya memang tak tengok cerita Melayu’, warga seni diperlekehkan… Apa pun Allah juga sebaik-baik perancang,” tulisnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Azhan Rani (@azhan_rani)

Pelakon berusia 46 tahun itu juga mengucapkan tahniah di atas hasil usaha keras Syamsul serta barisan produksi dalam mengangkat martabat perfileman tempatan ke satu tahap yang cukup membanggakan.

“Tak terkata terharunya aku bila tengok keyakinan orang mula rancak kembali terhadap cinema kita.

“Yang pernah cakap tak minat filem melayu dulu tu pun habis berangkut sekampung datang ke panggung.

“Allahuakbar.. semoga filem Mat Kilau beri inspirasi dan semangat agar cinema kita akan rancak kembali dan lebih banyak karya-karya berkualiti dihasilkan,” tulisnya lagi.

Mat Kilau yang dibintangi Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Johan Asa’ri, Wan Hanafi Su dan Datuk Jalaludin Hassan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei pada 23 Jun lalu.

Menelan kos produksi sebanyak RM8 juta, filem epik berskala besar itu mengisahkan perjuangan tokoh pahlawan Melayu, Mat Kilau serta rakan-rakannya dalam menentang penjajahan British di Pahang pada tahun 1892.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto:  Instagram Azhan Rani

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI