
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkesempatan menziarahi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di kediamannya sebaik tiba di tanah air, semalam.
Menurut Zulkifli, pertemuan itu terasa cukup berbeza berbanding pertemuan mereka sebelum ini apabila melihat raut wajah Tun Dr Mahathir yang jelas kelihatan sugul selepas kehilangan insan yang begitu dekat di hatinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
“Alhamdulillah, semalam setibanya saya di tanah air pada lewat petang, saya terus menziarahi Tun Dr Mahathir Mohamad di kediamannya.
“Pertemuan itu terasa begitu berbeza daripada pertemuan-pertemuan kami sebelum ini. Raut wajah Tun jelas kelihatan sugul.
“Dalam keadaan duduk di atas kerusi roda setelah kehilangan insan yang begitu dekat di hati, saya menghampiri beliau lalu bersalaman.
“Saya bisikkan beberapa patah kata dan nasihat kecil, umpama seorang anak yang sedang cuba memujuk dan menguatkan hati seorang bapa yang sedang diuji dengan kehilangan,” tulisnya.
Perkara itu dikongsikan oleh Zulkifli menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam masa sama, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersyukur apabila dirinya berpeluang menunaikan solat jenazah ghaib di Masjid Nabawi buat Allahyarham Tun Hasmah.
“Saya turut memohon maaf kerana tidak dapat hadir ketika urusan jenazah Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah.
“Namun, saya bersyukur kerana Allah memberikan kesempatan untuk saya bersama sahabat-sahabat menunaikan solat jenazah ghaib di Masjid Nabawi.
“Selepas solat Maghrib, saya turut bersama-sama membaca Surah Yasin dan tahlil, sebelum diminta untuk memimpin bacaan doa khusus buat Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah,” kongsinya lagi.
Zulkifli turut menyifatkan pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah sebagai takdir yang perlu diterima dengan penuh reda, meskipun kehilangan insan tersayang bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui.
“Begitulah kehidupan. Ada pertemuan yang meninggalkan kenangan, ada perpisahan yang tidak pernah kita pinta.
“Namun, pada akhirnya, setiap perjalanan akan sampai kepada penghujungnya, dan kita semua akan kembali kepada-Nya,” kongsinya.
Baca Artikel Lain;
Dalam masa sama, Zulkifli turut mendoakan kesihatan Tun Mahathir yang ketika ini sedang di dalam pemantauan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Pagi ini saya menerima khabar bahawa Tun telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pemerhatian kesihatan.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa keadaan beliau stabil. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada Tun dalam menghadapi saat-saat yang penuh ujian ini.
“Semoga Allah memberikan kesembuhan, memelihara kesihatan Tun, menenangkan hatinya, serta melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah,” akhirinya.
Terdahulu, Tun Dr Hasmah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi Isnin.
Tun Dr Hasmah telah selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, pada kira-kira jam 6.10 petang Isnin.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Tun Dr Mahathir Mohamad