Disahkan Meninggal Dunia Antara 2 Hingga 3 Hari Sebelum Mayat Ditemui, Ini Punca Sebenar Kematian Nora Anne

Share

Punca kematian gadis Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang 4 Ogos lalu akhirnya terjawab apabila pihak polis mendedahkan, punca kematian mendiang adalah disebabkan oleh kebocoran pada usus akibat kebuluran dan tekanan berpanjangan.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pakar patologi juga telah mengesahkan remaja terbabit telah meninggal antara dua hingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui pada hari ke 10 di 2.5 Kilometer dari resort penginapannya di The Dusun Pantai Hill di sini.

“Tidak ada kesan atau tanda dirogol hanya calar-calar kecil dan luka pada kaki tetapi tidak menjurus menyebabkan kematian.

“Punca kematian sebenar adalah disebabkan kebocoran usus mungkin disebabkan tidak ada makanan dalam tempoh yang panjang,” katanya seperti yang dipetik pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan hari ini.

Mohamad turut mengesahkan tidak ada elemen mangsa dilarikan atau diculik.

Menurutnya lagi, beberapa sampel pada tubuh Nora Anne telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi mengetahui lebih lanjut autopsi tersebut.

Sementara itu, ditanya sama ada gadis itu dirogol, Mohamad menafikan perkara berkenaan, sebagai mana yang diandaikan sesetengah pihak.

Manakala mengenai laporan media Perancis, Pejabat Pendakwa Raya Perancis yang membuka siasatan jenayah terhadap kematian Nora Anne, Mohamad berkata, itu siasatan yang dilakukan oleh pihak mereka.

“Itu kita tidak tahu, itu pihak dia tapi memang pihak polis dari Perancis dan Ireland ada bersama kita menjalankan siasatan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pengguna bernama Zikri Armstrong dengan membuat naik ciapan mendakwa Nora Anne dirogol orang asli, Mohamad berkata, perkara itu adalah tidak benar. “Laporan polis telah dibuat dan kita akan menyiasat pemilik akaun itu,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab sama ada keluarga Nora Anne boleh membawa pulang mayat gadis itu dalam masa terdekat ini, beliau berkata, keluarga mendiang boleh membawa mayat gadis itu pada bila-bila masa untuk dibawa pulang ke negaranya.

Sumber: Sinar Harian

IKLAN