
Pengarah dan pelakon Hollywood, Tyler Perry, 56, sekali lagi mencuri perhatian apabila berdepan satu lagi saman sivil yang difailkan oleh seorang pelakon lelaki dikenali sebagai Mario Rodriguez.
Mario, 40, mendakwa dirinya menjadi mangsa serangan seksual oleh penerbit dan pengarah berpengaruh itu.
Menurut laporan TMZ, Rodriguez yang pernah muncul dalam filem Boo! A Madea Halloween
mendakwa kejadian berkenaan berlaku dalam beberapa pertemuan berasingan antara tahun 2015 hingga 2019.Dakwaan itu menyebut insiden terbabit berlaku di lokasi peribadi dan bukan di set penggambaran, termasuk sentuhan fizikal yang didakwa dilakukan tanpa persetujuan.
Lebih mengejutkan, dokumen saman menyatakan Rodriguez mendakwa Perry telah melakukan perbuatan tidak senonoh secara berulang, termasuk menyentuh kemaluannya, sekali gus menyebabkan tekanan emosi dan trauma berpanjangan.
BACA JUGA: Tyler Perry Didakwa Lakukan Serangan Seksual, Tuntutan Mencecah AS$260 Juta
Saman berkenaan turut menyentuh dakwaan penyalahgunaan kuasa, apabila Rodriguez mendakwa peluang kerjaya dalam industri hiburan dikaitkan dengan layanan seksual yang tidak diingini.
Bagaimanapun, Perry menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan tersebut. Melalui kenyataan yang disampaikan oleh peguamnya, beliau menyifatkan saman itu sebagai tidak berasas dan bermotifkan kewangan.
Kes terbaharu ini bukanlah yang pertama dihadapinya, ini merupakan saman kedua terhadap Tyler Perry dalam tempoh kurang setahun.
Sebelum ini, seorang lagi pelakon turut tampil memfailkan saman berasingan dengan dakwaan gangguan dan serangan seksual, menjadikan nama Perry terus menjadi tumpuan media dan pemerhati industri hiburan antarabangsa.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan