
Penyanyi, Siti Nordiana mengakui agak berat hati untuk melepaskan anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie yang bakal menyambung pengajian di sebuah institut pengajian tinggi swasta serta menetap di asrama.
Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, perasaan tersebut merupakan lumrah yang dirasai oleh setiap ibu, lebih-lebih lagi apabila terpaksa berjauhan dengan anak buat pertama kali.
“Pada saya, itu hanyalah kerisauan bagi semua ibu-ibu. Lebih-lebih lagi saya ini pula ibu tunggal dan anak pula hanya seorang. Saya tak pernah berjauhan dengan Rayyan. Saya agak risau dan takut juga.
“Dialah penghibur saya bila di rumah. Dialah kawan baik dan kawan gaduh. Kami sangat rapat. Mungkin ini lumrah yang dirasai para ibu bila anak-anak bakal meninggalkan rumah.
“Pada awalnya, kita mungkin tidak biasa. Mahu atau tidak, saya kena lepaskan juga. Dia juga mahu mengejar kehidupannya sendiri,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Terus Mencintai itu berkata demikian ketika ditemui pada Konsert Soundstage, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nana tetap berlapang dada dan menyifatkan ini sebagai waktu yang sesuai untuk Rayyan memulakan kehidupan secara lebih berdikari.
“Asrama itu hanyalah pilihan tapi dia tetap memilih untuk tinggal di situ. Saya memang agak risau dan para ibu pasti ada rasa anxiety bila berjauhan dengan anak. Macam-macam yang kita fikirkan.
“Namun, tak mengapalah. Mungkin itu jalan yang dia pilih. Saya okay sahaja. Mungkin ini masanya dia belajar untuk berdikari. Duduk di rumah nanti, asyik manja pula.
“Kami tak pernah berenggang. Kalau tinggal pun sebab saya ada jemputan persembahan atau outstation. Untuk tinggal bersendirian, itu belum pernah lagi,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Nana pernah berkongsi reaksinya selepas Rayyan memaklumkan dia menerima tawaran untuk menyambung pengajian dan bakal menetap di asrama.
Meskipun gembira dengan pencapaian anaknya itu, Nana mengakui tetap berasa berat hati apabila Rayyan memilih untuk tinggal di asrama.
Pada masa sama, Nana turut memaklumkan dirinya menerima banyak komen daripada golongan ibu yang melalui situasi sama sepertinya.
“Jika lihat di ruangan komen, ramai sahaja yang senasib dengan saya. Bukan saya seorang sahaja yang lalui situasi ini. Ada yang kata, bila anak mereka pergi ke asrama, mereka rasa sunyi,” ujarnya.
Ditanya sama ada ini merupakan waktu yang sesuai untuk dirinya mencari pasangan hidup, Nana bagaimanapun menegaskan dia mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi rasa sunyi.
“Kalau ada pasangan, takkanlah saya sunyi. Tak mengapalah. Lagi pun saya sibuk dengan jadual persembahan. Kalau saya sibuk dengan program, hilanglah sunyi itu.
“Kalau di rumah, saya akan banyak tonton drama Korea back to back, adakan sesi siaran langsung di media sosial atau pergi minum kopi. Ada banyak cara untuk hilangkan kesunyian,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini