
Kim Khairii
Peserta Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Kim Khairii akhirnya tampil menjawab persoalan netizen mengenai status dirinya yang hangat diperkatakan di media sosial kebelakangan ini.
Mengakui dirinya kini sudah bergelar suami, Kim bagaimanapun memilih untuk tidak terlalu berkongsi mengenai kehidupan rumah tangga demi menjaga privasi keluarga.
“Memang benar saya sudah mendirikan rumah tangga. Saya dan isteri berkahwin tahun lalu. Saya memilih untuk tidak terlalu menguar-uarkan demi menjaga privasi.
“Yang penting, ketika ini, orang sudah tahu saya sudah berkahwin. Saya cuma tidak berkongsi perkara itu di media sosial sahaja. Saya juga tidak mahu dedahkan wajah isteri dan anak.
“Isteri juga sepakat dalam hal ini. Katanya, cukuplah orang tahu yang saya sudah berkahwin,” katanya kepada MH.
Anak kepada penyanyi Safura Yaacob itu berkata demikian ketika ditemui selepas tamat saingan minggu kelima TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA pada Ahad.
Baca Artikel Lain;
Dalam masa sama, Kim turut berkongsi khabar gembira apabila dia dan isteri baru sahaja dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia empat bulan.
Menurut Kim, buat masa ini mereka menjalani hubungan jarak jauh kerana isterinya berada di kampung halaman di Sabah bagi memberi tumpuan menjaga anak mereka.
“Saya sudah punyai cahaya mata yang kini berusia empat bulan.
“Ketika ini, kami menjalinkan hubungan secara jarak jauh. Dia kini berada di Sabah.
“Insya-Allah, jika diizinkan saya masuk ke final, dia akan datang menonton saya,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam industri seni, Kim menjelaskan isterinya sangat memahami kerjayanya kerana pernah terlibat dalam dunia hiburan suatu ketika dahulu.
“Isteri saya juga dahulu merupakan seorang penyanyi. Dia pernah menandatangani kontrak sebagai artis rakaman. Kemudian, dia keluar dan bekerja seperti mana orang biasa.
“Sejak dari awal lagi, dia memang menyokong keputusan saya untuk terlibat di dalam dunia seni. Apa sahaja yang saya lakukan, dia hanya berpesan supaya saya menjaga diri,” kongsinya lagi.
Ketika ditanya sama ada isterinya meletakkan sebarang syarat untuk dirinya terus aktif dalam bidang seni, Kim bersyukur kerana dikurniakan pasangan yang cukup memahami dan sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap perjalanan muziknya.
“Setakat ini, dia okay sahaja. Dia sangat menyokong perjalanan muzik saya. Lagipun, dia tahu sifat saya. Jadi, dia tidak terlalu risau,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kim mengakui dia reda sekiranya pendedahan mengenai status perkahwinannya memberi kesan terhadap sokongan peminat.
“Rasanya tak perlulah sampai nak rasa kecewa. Saya menyanyi memang untuk menghiburkan anda semua.
“Jika perkara ini membuatkan saya hilang peminat, saya reda. Lagipun, saya tidak akan sesekali merahsiakan status saya. Soroklah macam mana pun, orang tetap akan tahu juga.
“Selepas ini, jika saya keluar bersama isteri dan anak-anak, orang pasti akan nampak juga,” akhirinya.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang pengguna Threads mendakwa Kim sudah mendirikan rumah tangga.
Menurut dakwaan tersebut, individu berkenaan mendakwa pernah menonton video ibu Kim, iaitu Safura, menyanyi pada majlis perkahwinannya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini