Categories: Berita Hiburan

“Dia Memang Menepati Ciri Wanita Idaman Tapi…, – Amir Ahnaf Perjelas Status Dengan Daiyan Trisha

Share

Dilihat kerap berkongsi video bersama di media sosial sejak kebelakangan ini, pelakon Amir Ahnaf tampil memperjelaskan hubungannya dengan rakan selebriti, Daiyan Trisha tidak lebih sekadar teman baik.

Menurut Amir, sepanjang perkenalan mereka, dia tidak pernah terfikir untuk mempunyai perasaan cinta terhadap Daiyan.

“Saya suka berkawan dengan Daiyan. Dia seorang yang periang dan baik hati. Namun, saya tak pernah ada sedikit pun pemikiran untuk punyai perasaan terhadap Daiyan.

“Daiyan kawan baik saya. Itu sahaja. Daiyan memang menepati ciri-ciri wanita idaman tapi hubungan kami tak lebih daripada sekadar kawan,” katanya kepada MH.

Bintang kelahiran Hero Remaja 2021 itu berkata demikian ketika ditemui di acara tayangan perdana filem Tarung: Unforgiven, baru-baru ini.

Belum Sedia Bercinta

Amir memaklumkan, dia belum bersedia untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius kerana merasakan masih banyak tanggungjawab lain yang perlu diberi keutamaan, khususnya terhadap kerjaya dan keluarga.

Malah, dia juga berpandangan, perlu terus memperbaiki diri sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Eh, tidaklah. Tiada siapa pun yang akan marah. Cuma buat masa ini, saya belum bersedia untuk ada hubungan yang isitimewa. Banyak lagi perkara yang ingin saya kejar.

“Antara sebab utamanya juga, saya belum cukup ‘kaya’ lagi. Pada saya, kunci utama untuk berumah tangga adalah punyai kewangan yang stabil. Saya juga kena mantapkan lagi ilmu agama.

“Dalam masa sama, saya masih punyai banyak lagi tanggungjawab lain seperti adik-adik dan mak ayah,” ujarnya.

Baru-baru ini, tular momen yang memaparkan Amir dan Daiyan melakukan aktiviti jogging bersama sambil membuat eksperimen mentega, sekali gus menarik perhatian ramai.

Video tersebut turut mencetuskan harapan dalam kalangan netizen yang ingin melihat mereka menjalinkan hubungan istimewa.

Terima Tawaran Demi Hargai Sahabat

Dalam perkembangan lain, Amir berkongsi penglibatannya dalam filem Tarung: Unforgiven sebagai sebagai tanda penghargaan buat sahabat baiknya, Mierul Aiman.

“Sebab utama saya terima tawaran berlakon filem ini adalah kerana sewaktu saya menjalani penggambaran filem Kahar: Kapla High Council, Mierul sanggup selitkan masa untuk jadi cameo walaupun jadualnya sangat sibuk.

“Jadi, saya rasa terhutang budi. Lagipun, kami sudah berkenalan lama. Saya layak untuk sokong Mierul dalam filem ini.

“Selepas dengar nama Mierul sebagai pelakon utama, saya terus setuju,” ujarnya jujur.

Walaupun hanya memegang watak pembantu sebagai Ucop, Amir melihat peranan tersebut tetap mempunyai cabaran tersendiri dan memberi ruang untuknya keluar daripada zon selesa.

“Setiap watak yang diberi punyai ruang lakonan yang berbeza. Jadi, saya rasa lebih baik saya keluar daripada zon selesa dan cuba ruang yang lain. Alhamdulillah, rasanya saya berjaya.

“Saya tak kisah bagaimana pengakhiran watak saya. Yang penting saya dapat memberikan impak kepada watak. Alhamdulillah, Mierul berjaya membawakan emosi ketika bersama saya itu sehinggalah ke bahagian akhir,” akhirinya.

Tarung: Unforgiven bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei ini dan selain Amir, filem arahan Razaisyam Rashid itu turut dibintangi Azira Syafinaz, Bront Palare Zul Ariffin dan ramai lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf