
Penyanyi Indah Ruhaila berkongsi perkembangan keadaan dirinya saat ini selepas selamat melahirkan cahaya mata sulung pada tanggal 11 April lalu.
Berkongsi detik awal bergelar ibu, Indah mengakui dirinya agak kurang rehat kerana masih perlu membiasakan diri dengan perubahan baru tersebut.
“Saya sebenarnya berasa sangat terharu. Tujuh hari pertama selepas bersalin, saya memang tak tidur sangat. Namun, saya menikmati setiap momen-momen itu. Bila lihat wajah anak, saya rasa sangat puas.
“Mukanya sama seperti wajah ayahnya. Yang penting keadaan anak sihat,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Percayalah itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis akad nikah pengacara Radin, baru-baru ini.
Meskipun terpaksa berdepan sedikit cabaran, Indah tetap memanjatkan rasa syukur apabila proses kelahiran berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi serius.
“Seperti semua tahu, saya sudah agak berusia. Bila dapat tahu saya hamil, doktor minta saya berjaga-jaga.
“Alhamdulillah, saat melahirkan, saya tidak mengalami sebarang komplikasi. Cuma saya bersalin secara pembedahan c-zer.
“Sejak trimester pertama, air ketuban saya agak kurang. Kantung itu menjadi kecil. Bila usia kehamilan meningkat, bayi tak boleh nak pusing pula. Bayi berada dalam posisi melintang.
“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Bayi berada dalam keadaan sihat,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Indah turut berkongsi pengorbanan suaminya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik yang sanggup mengambil tanggungjawab menjaga dirinya sepanjang tempoh berpantang.
“Pada awalnya, kami merancang untuk gunakan khidmat ‘confinement lady’. Namun, bila berbincang semula, saya rasa mahu merasai sendiri momen membesarkan anak dengan suami.
“Dia tawar diri nak menjaga saya ketika berpantang. Dia juga masak makanan saya empat kali sehari. Suami saya punyai ramai kawan pakar nutrisi. Jadi, dia banyak belajar sendiri,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai perancangan menambah zuriat, Indah berkata dia dan suami kini bersyukur dengan kehadiran seorang cahaya mata selepas menunggu hampir lapan tahun.
“Buat masa ini, kami merancang untuk punyai seorang sahaja cahaya mata. Kami menunggu selama lapan tahun. Bila dikurnia seorang cahaya mata, kami sangat bersyukur.
“Bila bertanya kepada doktor, mereka juga memaklumkan risikonya agak tinggi jika saya hamil lagi kerana usia saya semakin meningkat.
“Pada saya, ia tetap bergantung kepada rezeki. Ada wanita dalam lingkungan usia 40-an dan 50-an pun hamil lagi. Saya hanya berserah. Jika ada rezeki saya terima,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Indah turut mengimbau detik emosinya sewaktu pertama kali mengetahui dirinya hamil selepas pernah melalui pengalaman mengecewakan sebelum ini.
“Saya pun tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan itu. Bila kita sudah berserah dan pasrah, saya rasa tak mengapalah jika tidak dikurniakan rezeki untuk punyai zuriat, melahirkan atau menjadi ibu.
“Bila dapat tahu saya hamil, saya memang teruk menangis. Ketika itu suami belum tahu lagi. Bila tunjuk pada suami, ketika itu, dia tidak mengharapkan apa-apa.
“Kami pernah lalui situasi ini sebanyak dua kali. Saya minta dia tengok betul-betul. Di juga terkejut dan teruja,” akhirinya.
Sekadar informasi, Indah dan Shariff mendirikan rumah tangga pada 24 Disember 2017 dalam sebuah majlis tertutup.
Sebelum itu, Shariff pernah mendirikan rumah tangga, namun berakhir dengan perpisahan dan dikurniakan dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini