Muhammad Irsyad Tarudin atau lebih dikenali sebagai Irsyad kini melangkah ke dunia penyiaran apabila secara rasmi menyertai Suria FM sebagai penyampai segmen malam terbaharu, Kafe Suria.

Berpendidikan dalam bidang sains, Irsyad merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Agroteknologi) dalam bidang Akuakultur dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kini sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sepanjang pengajiannya, Irsyad aktif dalam pelbagai pembentangan akademik, selain sering dijemput sebagai pengacara dan hos acara rasmi. Kini, kecintaannya terhadap dunia komunikasi dan penyiaran akhirnya menjadi kenyataan.

Santai, Interaktif & Relevan

Irsyad mula ke udara secara rasmi sejak 19 Mei lalu, menerusi Kafe Suria yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam.

Segmen ini diinspirasikan daripada suasana kafe moden yang santai, mesra dan penuh informasi.

Irsyad bukan sekadar penyampai, malah digambarkan sebagai ‘barista maya’ yang menyambut pendengar dengan ramah, berbual dengan tenang serta menyampaikan kandungan yang dekat di hati.

Ads

Kafe Suria disasarkan untuk menarik perhatian generasi muda yang mahukan hiburan berinformasi dan cepat.

Ia menyentuh pelbagai topik seperti isu viral, budaya popular, kerjaya dan luahan peribadi, menjadikannya peneman ideal untuk mereka yang ingin berehat atau melepaskan tekanan selepas seharian bekerja dan belajar.

Dari Akuakultur ke Konti Radio… Irsyad Jadi ‘Barista Maya’ Dalam Konti, DJ Lin Optimis – “Kami Yakin Dia Mampu…” Dari Akuakultur ke Konti Radio… Irsyad Jadi ‘Barista Maya’ Dalam Konti, DJ Lin Optimis – “Kami Yakin Dia Mampu…”

Hormati Legasi, Bawa Nafas Baharu

Dalam pada itu, Irsyad menyifatkan peluang yang diberikan untuk berada di konti bukan beban, sebaliknya satu peluang besar untuk menyerlahkan potensi diri.

Ads

“Saya tidak datang untuk mengubah suasana yang telah terbina (Suria Cinta), sebaliknya menghormati legasi itu sambil membawa elemen baharu yang lebih segar dan sesuai dengan selera generasi muda.

“Saya yakin dengan hala tuju yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Suria FM, dan Kafe Suria hadir untuk mendekati pendengar dengan gaya yang lebih santai, moden dan mengikut arus semasa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Irsyad untuk membawa pembaharuan kepada segmen malam.

“Kami yakin dia mampu membawa pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan jiwa pendengar.

Ads

“Kafe Suria bukan hanya menghiburkan, malah mewujudkan suasana santai selepas penat bekerja dan membina komuniti pendengar yang aktif dan setia.

“Untuk peminat Suria Cinta pula, jangan bimbang kerana susunan lagu yang menjadi identiti malam Suria termasuk lagu-lagu jiwang dan nostalgia era 90-an akan terus diputarkan,” jelasnya.

Segmen Suria Cinta yang dikendalikan oleh DJ Lin pula bersiaran pada hujung minggu, Sabtu dan Ahad bermula 8.00 malam hingga 1.00 pagi.

Sementara empat segmen khas yang menghidupkan malam Kafe Suria pula ialah NTT (Nak Tahu Tak?), ON SET, KOLPI (Call & Kopi) dan LAST (Lagu Sebelum Tidur).

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!

KLIK DI SEENI
Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
Ads