
Pelakon dan usahawan yang kini aktif dalam dunia politik, Datin Anne Ngasri mendakwa video serta identitinya telah disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab bagi tujuan penipuan di media sosial.
Menurut Anne, dia hanya menyedari perkara tersebut selepas menerima kiriman daripada rakan-rakan yang berkongsi pautan video berkenaan.
“Sahabat-sahabat media sosial yang kirimkan video itu kepada saya dan tontonan video itu agak tinggi. Jadi pada saya ini satu perkara yang perlu saya ambil berat kerana ia adalah satu penipuan.
“Saya terkejut sebab mereka edit video tersebut untuk minta pinjaman. Sampai beli tudung bawal pun dia boleh cakap boleh dapat pinjaman sekian-sekian,” katanya.
Anne berkata demikian ketika ditemui pada sesi bersama media bersempena dengan Program Bidadari Dambaan Syurga Parlimen Cameron Highlands 2026 di Hotel Premiera Kuala Lumpur, pada Isnin.
Susulan itu, Anne atau nama sebenarnya, Naszriah Ngasri ini tidak berdiam diri apabila segera memuat naik satu hantaran di media sosial bagi menjelaskan perkara sebenar kepada para pengikutnya.
Sudah Draf Laporan Polis, Rujuk Peguam
Malah, pelakon yang popular menerusi drama Cili Padi itu memaklumkan dia telah menyiapkan draf laporan polis serta mendapatkan nasihat daripada peguam berhubung tindakan lanjut yang bakal diambil.
“Saya baru selesai draf laporan polis dan saya juga dapatkan nasihat daripada peguam untuk tindakan seterusnya.
“Saya harap orang yang buat perkara macam ini janganlah begitu. Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai orang mungkin perlukan pinjaman, tetapi jangan gunakan muka saya untuk buat perkara yang tidak betul.
“Platform saya adalah untuk berkongsi tentang diri saya, bukannya untuk digunakan bagi tujuan menipu. Dari sudut undang-undang pun ia memang salah,” ujarnya lagi.

Baca Artikel Lain;
Enggan Lebih Ramai Jadi Mangsa Penipuan
Walaupun insiden itu merupakan kali pertama berlaku, Anne menegaskan dia akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan lebih ramai individu tidak menjadi mangsa kepada sindiket penipuan yang menggunakan identitinya.
Anda mungkin berminat dengan
“Sebelum ini memang banyak akaun palsu di TikTok dan Facebook yang gunakan nama saya tetapi saya hanya ada satu akaun sahaja.
“Apabila melibatkan penipuan, saya tak boleh biarkan. Saya perlu ambil tindakan supaya tak ramai orang jadi mangsa,” katanya.
Terdahulu, Anne berkongsi terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa telah menyalahgunakan video serta identitinya bagi tujuan penipuan di media sosial.
Tegas Anne, dia sama sekali tidak pernah terlibat mahupun menjadi wakil kepada mana-mana skim pinjaman seperti yang didakwa individu berkenaan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

