Aktor Ben Ali atau nama penuhnya Nur Ali Nadzwan seperti yang dipetik menerusi laman FBnya mengakui, penggiat seni di negara ini merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang membantu kadar pembangunan ekonomi negara.

“Menurut kajian pada tahun 2015, industri seni, budaya dan kreatif telah menyumbangkan sebanyak 33 Billion kepada kenaikan KDNK negara seperti yang telah dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia sewaktu itu.

 

“Namun begitu, kebajikan anak seni yang banyak membantu pembangunan industri ini telah lama dilupakan. KADAR BAYARAN YANG RENDAH , KERJA LEBIHAN JAM, TIADA JAMINAN MASA HADAPAN , SUKAR MEMBUAT PINJAMAN BANK dan sebagainya menyebabkan para penggiat seni ini mengalami kesusahan dan kesempitan hidup yang tinggi.

 

“Sehubungan itu , saya mengambil initiatif sendiri dengan menjalankan kajian tentang masalah permasalahan yang dihadapi ini berserta dengan jalan penyelesaian yang boleh dilakukan .

 

“Terima kasih yang tak terhingga kepada individu-individu yang terlibat yang terdiri daripada para PENERBIT , PELAKON , PENYANYI , PEKERJA BELAKANG TABIR dan lain lain yang telah memberi kerjasama yang sepenuhnya semasa saya menjalankan kajian ini . Kajian juga dibantu dengan khidmat nasihat guaman dalam beberapa aspek yang dilihat perlu diteliti secara mendalam dari segi perundangan,” tulisnya.

Pada masa sama, pelakon ini juga turut menyeru agar kesemua penggiat seni di negara ini bersatu demi untuk membawa perubahan kepada ekosistem Industri hiburan yang lebih baik di masa akan datang . Diharap mana-mana badan , persatuan ,kesatuan dan sebagainya dapat turut sama dalam usaha untuk merealisasikan impian dan harapan ini.

Malah, Ben turut mengaharapkan kerjasama yang baik daripada  Kementerian Kesenian dan Kebudayaan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam membincangkan isu-isu berbangkit ini.

“Baik pihak kerajaan mahupun pihak bukan kerajaan. Sekiranya anda ingin berkerjasama dengan saya di dalam mengangkat dan menjayakan perkara ini , amatlah di alu-alukan.”tulisnya lagi.

Jom baca apakah 9 Cadangan perlaksanaan sistem baharu demi untuk menambah baik Industri Hiburan tanah air daripada perspektif pelakon berpandangan jauh ini.

1. MELAKSANAKAN HAD TEMPOH BERKERJA / PENGGAMBARAN

Pekerja di dalam industri seni khususnya bagi bidang penggambaran sering mengalami masalah lebihan jam bekerja sehinggakan ada yang mengalami tekanan di tempat kerja dan sekaligus membawa kepada gejala negatif seperti pengambilan dadah kerana kurang mendapat rehat yang secukupnya, dengan bantuan dadah , ada diantara mereka percaya bahawa ianya dapat membantu mereka untuk berkerja dengan baik walaupun kondisi badan berada didalam keadaan sebaliknya. Rata-rata tempoh penggambaran di negara ini kebiasaanya lebih daripada 12 jam , dan kadang kala ada yang mencecah sehingga 24 jam penggambaran.

2. MEWUJUDKAN BADAN KOPERASI BERTINDAK SEPERTI KWSP.

Hakikatnya kebanyakan penggiat seni di negara ini tidak mempunyai simpanan masa hadapan yang menjamin masa depan mereka oleh kerana faktor status kerja mereka adalah bebas dan bukannya sepenuh masa seperti pekerja di bidang lain , ini menyukarkan mereka membuat perancangan masa hadapan yang lebih teratur . Dan hasilnya , nasib mereka ini menjadi lebih sukar apabila di usia tua apabila tiada simpanan mahupun insuran yang melindungi mereka apabila ditimpa musibah. Oleh disebabkan itulah kita lihat ada diantara penggiat seni yang dahulunya terkenal di zaman kegemilangan mereka terpaksa meminta bantuan apabila menghadapi kesusahan . Realiti ini tidak boleh disangkal lagi .

3. MEWUJUDKAN KERANGKA BAYARAN YANG LEBIH SISTEMATIK DAN MESRA PINJAMAN BANK.

IKLAN

Disebabkan sistem bayaran sedia ada kini kurang efisyen , keadaan ini menyukarkan kebanyakan penggiat seni untuk membuat pinjaman bank bagi apa jua tujuan , baik pinjaman kenderaan , perumahan mahupun pinjaman peribadi . Rata-rata daripada mereka tidak berjaya untuk membuat pinjaman . Ini terjadi disebabkan kaedah bayaran yang di amalkan kini tidak mesra bank . Dalam erti kata lain , ianya amat mustahil bagi penggiat seni membeli kenderaan mahupun rumah menggunakan nama mereka sendiri kerana mereka tidak mempunyai slip bayaran gaji seperti yang dipinta oleh pihak bank menerusi syarat-syarat yang mereka kehendaki sebelum sebarang permohonan itu dapat diluluskan.

4. MEWUJUDKAN GARIS PANDUAN BAYARAN MINIMA BAGI PEKERJA BELAKANG TABIR.

Oleh disebabkan tiada pemantauan dan garis panduan bagi pekerja belakang tabir . Ada sesetengah syarikat produksi kadang kala mengambil kesempatan dengan menawarkan bayaran yang rendah kepada mereka demi untuk mengaut keuntungan yang lebih. Bayaran yang mereka terima itu tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan di set penggambaran saban hari . Kita tidak boleh menafikan bahawa pekerja belakang tadbir bagi sesebuah set penggambaran lah yang lebih banyak menghabiskan masa berkerja di set serta lebihan jam mereka berkerja itu sepatutnya di bayar dengan jumlah yang setimpal dan bukannya dibayar kurang seperti apa yang diamalkan di dalam industri hiburan kini . Faktor tidak mempunyai tawaran atau peluang lain menyebabkan mereka terpaksa menerima bayaran yang rendah itu kerana khuatir sekiranya mereka menolak sesuatu tawaran itu , mereka akan berada didalam kesusahan untuk membayar bill , menyara hidup dan sebagainya.

5. MENYEDIAKAN PERUNTUKAN KHAS UNTUK PENGGIAT SENI TANAH AIR MENIMBA ILMU DILUAR NEGARA.

Industri perfileman di negara kita ini jika hendak dinilai dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand , kita sudah sedikit ketinggalan berbanding negara mereka . Sebagai contoh Filem yang dihasilkan di Thailand mampu menembus masuk ke beberapa negara serantau dan menjadi “BOX OFFICE” di kebanyakan negara. Begitu juga Indonesia , menerusi filem mereka yang terkenal seperti Ada Apa dengan Cinta dan Ayat-ayat Cinta , hasil filem negara itu menjadi kegilaan penonton di negara kita . Namun sebaliknya yang berlaku bagi filem yang kita hasilkan , agak sukar untuk menenmbus masuk ke negara lain . Jika faktor bahasa yang berbeza menjadi masalah , mana mungkin filem dari Thailand yang menggunakan bahasa kebangsaan mereka itu mampu diterima diseluruh pelusuk dunia . Justeru , dengan menghantar anak seni tempatan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan ke luar negara . Mereka ini sekaligus akan membawa pulang idea dan pengalaman baru untuk disuntik ke dalam Industri hiburan tanah air seterusnya dapat meningkatkan kualiti industri hiburan kita ke peringkat antarabangsa.

IKLAN

6. MEWUJUDKAN SIJIL PROFESIONAL INDUSTRI SENI BAGI MENAIK TARAF KUALITI.

Bagi yang tidak tahu , industri seni khususnya di dalam bidang pembikinan drama TV di negara ini tidak mempunyai had kualifikasi khas untuk sesuatu jawatan atau bahagian . Sebagai contoh , anda mungkin boleh menjadi seorang pengarah filem pada hari ini walaupun baru beberapa bulan yang lepas anda cumalah seorang kru teknikal . Dalam erti kata lain , bidang seni ini sudah menjadi seumpama bidang terjun bagi sesetengah pihak yang mungkin tidak bernasib baik di dalam bidang lain . Tiada kawalan dan pemantauan khas untuk memastikan penghasilan kualiti dapat dipelihara dengan baik. Bukan kita cuba untuk menidakkan bakat seseorang , seandainya beliau memang berbakat didalam sesuatu bidang walaupun baru sahaja mendalami bidang tersebut sudah tentu kita mengalu-alukan kehadiran beliau . Namun adalah lebih baik jika untuk menyandang sesuatu jawatan ataupun bidang , perlu ada spesifikasi khas berserta sijil kelayakan , bertujuan untuk mengawal kualiti dari masa ke semasa.

7. MENGKAJI SEMULA SISTEM “HOURS” , ROYALTI DAN HAK CIPTA TERPELIHARA.

Bagi kebanyakan penerbit drama TV dinegara ini , mereka merasakan bahawa perlunya dikembalikan sistem JAM yang pernah dilaksanakan suatu ketika dahulu dimana RTM mengeluarkan suatu bentuk sistem jumlah jam yang diberikan kepada syarikat produksi yang mana sistem ini dilihat mampu memberikan jaminan kepada penerbit untuk merangka perjalanan syarikat mereka untuk tempoh masa yang panjang . Sebagai contoh , apabila kontrak Jam diberikan sebanyak 50 Jam selama dua tahun kepada sesuatu syarikat produksi . Mereka boleh mengira dan merancang dengan baik produk yang ingin dihasilkan tanpa perlu risau akan soal kerugian . Begitu juga dengan isu memegang hak cipta terpelihara , dinegara ini ‘copyright’ dipegang sepenuhnya oleh stesyen TV dan bukannya syarikat produksi , ini menyebabkan Drama atau Telefilem yang sudah di tayangkan boleh ditayang semula pada bila-bila masa dan dimana juga saluran mengikut kehendak stesyen TV. Hal ini menyebabkan sukarnya untuk mengira atau memberi bayaran Royalti sekiranya Drama tersebut di ulang tayang semula.

8. MENAIKKAN BAYARAN DARIPADA STESYEN TV KEPADA PENERBIT SECARA BERPERINGKAT.

IKLAN

Kadar bayaran yang hampirbsama diperolehi kebanyakan penerbit di negara ini sejak dari lewat 90-an sehingga kini menyebabkan taraf hidup serta hasil kualiti yang dihasilkan adalah kurang memuaskan . Sedangkan kadar inflasi sejak tahun 2012 hingga 2017 secara purata meningkat sebanyak 2.5% di Malaysia . Justeru , perlu adanya peningkatan bayaran kepada para penerbit drama TV mengikut kadar yang bersesuaian dengan keadaan semasa di negara ini . Masalah bayaran yang tidak setimpal ini memberikan banyak kesan dan implikasi kepada industri hiburan itu sendiri secara tidak langsung , sebagai contoh masalah masalah lain yang timbul seperti kurangnya bayaran kepada kru belakang tabir dan kekangan melaksanakan had tempoh berkerja terjadi adalah disebabkan kurangan bayaran yang diterima daripada stesyen TV , dan juga masalah seperti penghasilan kualiti yang rendah juga berkait rapat dengan bajet yang diperolehi . Sehubungan dengan itu, bayaran daripada stesyen TV kepada pihak penerbit wajar dikaji semula .

9. MEWUJUDKAN KESATUAN PENGGIAT SENI MUZIK DAN NYANYIAN.

Jika untuk industri drama dan filem , terdapat badan-badan mahupun persatuan yang khusus untuk setiap sektor . Sebagai contoh , PROFIMA mewakili pekerja belakang tabir dan persatuan SENIMAN mewakili para pelakon . Dengan ada nya persatuan-persatuan ini , segala aduan dan laporan serta penyelerasan di setiap bahagian itu dapat dipantau secara khusus. Namun , untuk penggiat seni muzik , tidak ada persatuan yang mewakili mereka . Jika ada , persatuan itu tidak aktif dan tidak ada pemantauan yang konsisten yang akan membela nasib penggiat muzik di negara ini .

Akhir sekali , segala cadangan di atas ini adalah cadangan peribadi serta mengambil kira cadangan-cadangan yang diberi oleh kebanyakan penggiat seni yang lain . Sekiranya anda mempunyai cadangan lain demi untuk menambah baik struktur Industri Seni di negara ini , cadangan dan pendapat anda amatlah di alu-alukan di ruangan komentar.

Berikut saya lampirkan di dalam bentuk ‘point’ bernombor untuk cadangan-cadangan di atas ;

1. Had tempoh berkerja / penggambaran
2. Mewujudkan Badan Koperasi Anak Seni seperti KWSP
3. Mewujudkan kerangka bayaran yang lebih sistematik dan mesra pinjaman bank.
4. Mewujudkan garis panduan bayaran minima bagi pekerja belakang tadbir.
5. Menyediakan Peruntukan khas untuk penggiat seni tanah air menimba ilmu di luar negara.
6. Mewujudkan sijil professional industri seni bagi menaik taraf kualiti.
7. Mengkaji semula sistem bayaran “HOURS” , royalti dan hak cipta terpelihara.
8. Menaikkan bayaran daripada stesyen TV kepada penerbit secara berperingkat.
9. Mewujudkan kesatuan penggiat seni muzik dan Nyanyian.

Sekadar Menulis,

Ben Ali,
25 Februari 2018.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI