Berita

Cik B Tak Terkesan & Patah Semangat, Bila Kemampuan Vokal Dipersoal – “Kalau Mereka Tak Suka, Bumi Akan Terbalik Ke?”

Share

Pempengaruh dan peserta Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Cik B menjelaskan dirinya tidak terkesan dengan komen negatif segelintir pihak yang mempersoalkan kemampuan vokal atau tidak punyai suara yang sedap untuk bergelar penyanyi.

Menurut Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, sepanjang lapan minggu bersaing di TTMM2, dia sudah terbiasa berdepan pelbagai komen yang mempertikaikan kebolehannya.

Cik B Lali Dengan Kritikan

“Saya sebenarnya tiada rasa apa-apa. Bila saya tengok komen-komen itu, saya okay sahaja. Bukanlah nak kata saya tak kisah. Mungkin saya sudah terbiasa.

“Saya sedar kemampuan. Seperti semua tahu, TTMM2 ini bukan sekadar program nyanyian semata. Ia juga mementingkan persembahan,” katanya kepada MH.

Anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida itu berkata demikian ketika ditemui selepas konsert suku akhir TTMM2, Ahad lalu.

Tambahnya lagi, komen negatif yang diterima juga tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus memberikan saingan terbaik.

“Saya tak kisah pun apa orang nak kata. Orang yang bercakap tentang saya, saya pun tak kenal mereka. Ia tak memberi kesan kepada saya.

“Kalau mereka tak suka saya, apa yang akan terjadi? Bumi akan terbalik ke? Itu tidak akan berlaku,” ujarnya lagi.

Bangga Masih Bertahan

Dalam pada itu, Cik B turut meluahkan rasa bangga terhadap usaha keras yang dilakukan bersama ibunya sehingga berjaya membawanya mara ke peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung Ahad ini.

“Saya rasa sangat bangga dengan diri saya. Kesemua sepuluh peserta yang bertanding di TTMM2 ini, mereka sangat berbakat.

“Bila saya mampu bertahan sehingga minggu ke-8 ini, itu bermakna saya juga berbakat,” kongsinya lagi.

Bakal membawakan lagu Anak Tupai pada saingan separuh akhir, Cik B memaklumkan dia sudah mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan persembahannya nanti mampu mencuri perhatian.

“Saya sudah ada idea tentang persembahan yang akan saya bawakan minggu ini. Saya tahu kemampuan suara saya. Jadi, saya pilihlah lagu yang sesuai.

“Lagu ini bukan sahaja sesuai dengan saya tapi dengan orang lain juga. Semua orang tahu lagu ini walaupun bukan orang Kelantan,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf