Berita

Caitlin Halderman Simpati Keadaan Jerebu, Harap Berakhir Segera – “Saya Sangat Sedih Kejadian Itu Masih Berlaku.”

Share

Pelakon Indonesia, Caitlin Halderman mengakui turut bersimpati dengan keadaan jerebu yang berlaku di Indonesia, yang didakwa berpunca daripada kebakaran hutan di Kalimantan.

Bagaimanapun, Caitlin menjelaskan keadaan di Jakarta tidak terlalu terkesan dengan jerebu berikutan lokasi mereka yang jauh daripada kawasan kebakaran.

“Keadaan jerebu di Indonesia memang agak teruk cuma saya tinggal di Jakarta. Kalimantan itu lebih dekat dengan Malaysia berbanding Jakarta.

“Saya pasti anda di Malaysia lebih terkesan berbanding kami di Jakarta. Bagaimanapun kami berdepan risiko gunung berapi,” katanya kepada MH.

Caitlin berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media dan tayangan perdana siri The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) yang berlangsung di TGV, Pavilion Damansara Heights, Petaling Jaya pada Selasa.

Harap Masalah Jerebu Segera Berakhir

Dalam pada itu, pelakon filem Surat Cinta Untuk Starla tersebut berharap agar kemelut jerebu yang berlaku dapat diselesaikan dan berakhir dalam masa terdekat.

“Saya sangat sedih apabila kejadian itu masih lagi berlaku. Saya juga mengharapkan saya dapat menyumbang sesuatu. Diharapkan masalah ini dapat segera diselesaikan.

“Saya tahu ia memberi kesan kepada ramai orang bukan sahaja di Indonesia tetapi juga negara-negara jiran seperti Singapura dan Malaysia,” kongsinya lagi.

Berkongsi mengenai pengalaman pertama kali bekerja bersama produksi Malaysia, Caitlin mengakui cukup seronok apabila menerima layanan yang baik sehingga membuatkan dirinya berasa seperti berada di rumah sendiri.

“Ini kali pertama saya menjalani penggambaran di Malaysia. Saya punyai waktu yang sangat menyeronokkan sepanjang bekerja di sini. Saya sangat sukakan orang Malaysia dan rasa seperti di rumah sendiri.

“Saya sukakan makanan di sini. Orang-orangnya juga memberikan saya layanan yang baik. Sudah tentu saya akan datang kembali jika ada tawaran pada masa akan datang,” ujarnya.

Terkejut Suasana Kerja Di Malaysia

Sementara itu, Caitlin mengakui agak terkejut dengan suasana kerja di Malaysia, terutama dari segi jumlah tenaga kerja yang terlibat sehingga membuatkan hubungan antara kru terasa lebih dekat dan akrab.

“Suasana bekerja di Malaysia dan Indonesia sangat berbeza. Saya agak culture shock kerana bila di Indonesia, jika kita terlibat dalam projek siri drama, tenaga kerjanya mencapai ratusan orang.

“Bila di Malaysia, tenaga kerjanya tidak ramai. Jadi, kita akan rasa lebih dekat dan rapat antara satu sama lain,” akhirinya.

Selain Caitlin, siri ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Meerqeen, Datin Seri Umie Aida, Nadia Aqilah, Farah Ahmad dan Amerul Affendi.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf