
Griya: Rahsia Seorang Lelaki
Bayangkan bagaimana seorang wanita menjalinkan hubungan cinta yang bermula dengan satu muslihat. Sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan kekuatan jiwa yang tinggi.
Namun, bagaimana pula apabila hubungan yang pada awalnya sekadar satu misi perlahan-lahan berubah apabila lelaki yang didekati itu mula mencuri hatinya?
Itulah elemen menarik yang diketengahkan menerusi drama bersiri terbaharu di platform penstriman iQIYI Malaysia, Griya: Rahsia Seorang Lelaki.
Terbitan Skop Productions, drama yang menggabungkan elemen thriller psikologi dan konflik hubungan ini mula menemui penonton sejak 9 Mei lalu menerusi platform iQIYI.
Drama ini mengisahkan Sophia lakonan Chacha Maembong, seorang peguam yang berganding bahu bersama Detektif Liana yang dijayakan Scha Alyahya bagi menyiasat Razman lakonan Nazim Othman, seorang duda kaya yang disyaki terlibat dalam pembunuhan dua bekas isterinya.
Demi melaksanakan misi tersebut, Sophia sanggup menjalinkan hubungan cinta palsu dengan Razman.
Percintaan yang pada mulanya sekadar strategi penyiasatan akhirnya membawa mereka ke alam perkahwinan apabila Sophia menyusup masuk ke dalam kehidupan dan kediaman Razman bagi membongkar segala rahsia yang disembunyikan lelaki itu.
Namun, kehidupan bersama Razman mula mengelirukan Sophia apabila lelaki tersebut perlahan-lahan berjaya mencuri hatinya. Dalam keadaan itu, Sophia terpaksa berdepan dilema sama ada untuk terus menegakkan keadilan atau melindungi lelaki yang mungkin sebenarnya berbahaya.
Turut membintangi drama ini ialah Dynas Mokhtar sebagai Razia atau lebih dikenali sebagai Kak Yan, Hazama sebagai Saiful dan Nia Atasha sebagai Sara yang melengkapkan lagi perjalanan cerita penuh misteri ini.
Menurut Pengarah Urusan iQIYI Malaysia, Singapura dan Indonesia, Dinesh Ratnam, pihaknya sentiasa memantau trend tontonan, perbualan di media sosial serta perubahan citarasa penonton.
Justeru, pihaknya yakin Griya: Rahsia Seorang Lelaki berpotensi menarik perhatian khalayak tempatan.
“Pada masa sama, kami juga bekerjasama rapat dengan penerbit tempatan untuk menghasilkan kandungan lebih moden, segar dan dengan dengan realiti masyarakat hari ini, sambil mengekalkan nilai hiburan yang kuat,” katanya.
Mengulas mengenai kekuatan penceritaan drama tersebut, Dinesh menyifatkan ia bukan sekadar kisah cinta atau rumah tangga biasa, sebaliknya sebuah permainan psikologi yang sarat dengan suspen dan rahsia.
“Drama ini menawarkan gabungan thriller, misteri dan konflik emosi yang jarang diterokai dalam drama tempatan. Setiap episod akan membuat penonton terus tertanya-tanya tentang siapa Razman sebenarnya dan apakah kebenaran yang tersembunyi di sebalik “Griya”.
“Drama ini disasarkan kepada penonton dewasa muda dan peminat cerita berintensiti tinggi, khususnya mereka yang gemarkan thriller, misteri dan drama hubungan yang kompleks.
“Mesej utamanya adalah tentang kepercayaan, manipulasi dan bagaimana seseorang yang kelihatan sempurna boleh menyimpan sisi gelap yang tidak dijangka,” katanya lagi.
Baca Artikel Lain;
Sementara itu, Penerbit dan Pengarah Urusan Skop Productions, Shamin Yusof menyifatkan naskhah bergenre thriller ini sebagai satu kelainan yang mampu memberikan pengalaman baharu kepada penonton dari sudut penceritaan dan pembikinan.
“Di Skop Productions, kami sentiasa mahu cuba sesuatu yang luar biasa. Menerusi drama ini, kami lari sikit dari kebiasaan genre aksi, drama dan seram. Kami bawakan sebuah naskhah thriller yang lebih ‘dark’ serti memberi fokus pada karakter.
“Kali ini, kita bermain dengan psikologi, emosi, dan persoalan moral. Kami mahu hidangkan sesuatu yang ‘fresh’ dan berbeza untuk penonton Malaysia, sebuah cerita yang akan buat anda terfikir-fikir tentang erti cinta dan kesetiaan.
“Memang sangat gembira apabila Griya: Rahsia Seorang Lelaki berjaya meraih perhatian penonton. Selain ‘cast performance’ yang tidak mengecewakan, kekuatan drama ini juga adalah pada jalan ceritanya yang sering membuatkan penonton tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya.
Menyentuh mengenai cabaran sepanjang proses pembikinan, Shamin mengakui fasa pembangunan naskhah merupakan antara aspek paling mencabar.
“Cabaran terbesar adalah ketika ‘development process’, kita perlu cukup data untuk buat penonton setia mengikuti drama ini hingga akhir.
“Selain itu, pemilihan pelakon juga mencabar kerana kami harus pastikan setiap pelakon dapat mengembangkan watak masing-masing dan menjadi sebati apabila dimainkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, pengarah drama berkenaan, Faisal Ishak turut memuji komitmen yang ditunjukkan para pelakon dalam menghidupkan setiap karakter.
“Sebagai pengarah, saya selalu percaya sesebuah cerita hanya hidup apabila para pelakonnya percaya pada dunia yang kita bina. Setiap pelakon sebenarnya datang untuk menjadi sebahagian daripada dunia yang kita ciptakan itu, bukan sekadar melakonkan watak.
“Harapan saya untuk drama ini adalah untuk penonton berasa sesuatu. Kadang-kadang kita terlalu fokus hendak buat cerita yang besar, tapi bagi saya, cerita yang memberi kesan yang lama adalah cerita yang buat orang rasa dekat.
“Saya juga berharap drama ini dapat menunjukkan bahawa cerita tempatan kita mempunyai identiti dan suara yang mampu bergerak lebih jauh. Platform mungkin berubah, cara orang menonton mungkin berubah tapi cerita yang jujur akan sentiasa mencari penontonnya,” katanya.
Bagi yang terlepas menonton, anda boleh menikmati keseluruhan episod drama ini secara ‘marathon’ menerusi platform berkenaan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini