
Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida mengakui dirinya turut terkejut dengan gimik paluan kompang ketika memperagakan busana rekaan Behati bersama penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob pada acara Kuala Lumpur Fashion Week 2026 (KLFW2026), baru-baru ini.
Menurut Vida, dia dan Fazley hanya mengikuti perancangan yang telah diatur pihak Behati untuk memperagakan busana yang diinspirasikan daripada watak Puteri Hang Lipur dan Sultan Melaka.
“Bab kompang itu kami memang tak tahu. Kami hanya diamanahkan untuk buat catwalk di acara finale.
“Datuk Fazley mengenakan baju rekaan yang diinspirasikan daripada Sultan Melaka manakala busana saya pula daripada Puteri Hang Lipur.
“Saya pun terkejut. Nasib baik saya tak gelak atau over react. Saya masih boleh kawal diri sebab ramai orang. Behati juga sudah pesan supaya jangan ketawa walau apapun yang berlaku.
“Ini juga kejutan daripada Behati,” katanya kepada MH.
Sementara itu, Fazley menyifatkan penglibatannya di pentas KLFW 2026 sebagai satu penghormatan besar, lebih-lebih lagi apabila diberi peluang mewakili jenama fesyen terkenal, Behati.
“Bila Vida maklumkan Behati menjemput kami untuk pertunjukkan akhir, kami rasa sangat bangga. Hasil rekaannya sangat kontemporari dan tradisional.
“Bila dijemput ke pentas runway, saya rasa berdebar kerana ada kompang. Saya nak berikan reaksi pun tak boleh kerana perlu kekal dalam karakter. Saya pun dengar orang jerit ‘kahwin’.
“Kami pun sebenarnya tak tahu tentang gimik kompang ini,” ujarnya lagi.
Vida dan Fazley ditemui pada acara pertunjukan fesyen Behati di KLFW2026 yang berlangsung di KLCC, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Mengulas mengenai simbolik paluan kompang tersebut, Fazley tidak menolak ia membawa maksud yang baik buat hubungannya bersama Vida yang kini hangat diperkatakan ramai.
“Perkara ini sudah seperti ‘open secret’. Semua orang sudah tahu dan ramai yang mendoakan yang terbaik. Mungkin acara pada malam ini merupakan satu doa.
“Bila tiba satu saat yang sesuai, paluan kompang itu akan jadi realiti, inshaAllah. Mustahil untuk tidak berlaku. Kena faham situasi itu,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.