
Komposer dan penerbit muzik prolifik, Ajai, tidak berkecil hati dengan kritikan segelintir pihak terhadap lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 yang dikatakan tidak mampu menandingi versi asal.
Menurut Ajai, setiap pendengar mempunyai selera muzik tersendiri dalam menilai karya baharu yang menampilkan Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nadeera dan Aisha Retno itu.
Katanya lagi, apa sahaja reaksi termasuk kritikan terhadap lagu berkenaan adalah perkara biasa dalam dunia hiburan.
“Pada saya itulah hiburan. Dalam perkataan hiburan itu terbahagi kepada hiburan yang mendengar, hiburan yang suka dan hiburan yang tidak suka.
“Hiburan yang tidak suka ini pun hiburan juga kerana mereka terhibur dengan benda yang mereka tidak suka,” katanya kepada MH.
Ajai berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video Cinta Di Akhir Garisan 2.0 yang berlangsung di Marriott Hotel, Petaling Jaya pada Khamis.
Katanya lagi, peminat perlu menyaksikan sendiri paduan empat suara berkenaan ketika menyampaikan lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 untuk menghayati keunikan serta keindahan warna suara setiap penyanyi.
“Saya tidak terasa hati sebab mereka belum nampak lagi penyanyi-penyanyi ini menyanyi secara langsung.
“Apabila mereka nampak visual penyanyi-penyanyi ini menyanyi secara langsung, barulah mereka tahu bagaimana bahagian itu dinyanyikan,” katanya.
Mengulas perbandingan antara versi asal dan baharu, Ajai berkata pendekatan vokal kedua-dua generasi sememangnya berbeza dan dia tidak mahu mengekalkan acuan terdahulu untuk karya terbaharu itu.
“Kalau kita mengharapkan mereka menyanyi mengikut cara lama, dan cuba pula penyanyi lama menyanyi dengan cara baharu, mungkin mereka juga akan kelihatan janggal.
“Saya tidak kekalkan apa yang ada pada versi pertama untuk dibawa kepada nombor dua.
“Bagi saya, versi pertama sudah yang terbaik. Jadi sekarang saya mahu cipta yang terbaik untuk versi kedua,” katanya.
Menurut Ajai, Aisha, Adira, Nadeera dan Marsha masing-masing hadir dengan karakter serta identiti vokal yang tersendiri, termasuk permainan runs dan kekuatan suara natural mereka.
Katanya lagi, pendengar perlu memberikan sedikit ruang untuk menikmati kelainan yang ditampilkan, sekali gus membiasakan diri dengan pendekatan vokal dan warna bunyi daripada penyanyi generasi baharu.
“Generasi sekarang membesar dengan pelbagai bunyi dan mereka datang dengan runs serta vokal semula jadi.
“Saya rasa semakin lama, mereka akan semakin serasi dengan bunyi baharu,” katanya.
Bukan Untuk Bandingkan Generasi Lama & Baharu
Dalam pada itu, Ajai berkata, penghasilan Cinta Di Akhir Garisan 2.0 juga bukan bertujuan membandingkan penyanyi baharu dengan penyanyi asal, sebaliknya mahu mengembangkan lagi populariti lagu berkenaan.
Malah, katanya, ada pendengar yang mengakui baru mengetahui kewujudan lagu asal selepas mendengar versi 2.0.
“Saya banyak membaca komen dan ada yang kata mereka baru saya tahu lagu ini.
“Jadi, sedikit sebanyak ia membantu populariti penyanyi lama dan dalam masa sama membantu populariti penyanyi baharu. Daripada cebisan penyanyi lama dan cebisan penyanyi baharu, semuanya mendapat manfaat secara sama rata,” katanya.
Ditanya mengenai komen yang mendakwa tona vokal penyanyi dalam versi baharu kedengaran hampir sama, Ajai secara berkata, penerimaan tetap bergantung kepada kecenderungan pendengar.
“Bila orang sudah tidak suka, bagi apa pun, jawapannya tetap tidak suka juga,” katanya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.