
Zahiril Adzim
Pernah tak anda terfikir, pada saat menjalani kehidupan yang tenang dan bahagia, tiba-tiba segalanya berubah menjadi kacau bilau hanya kerana berada di tempat dan waktu yang salah?
Itulah situasi yang dialami oleh Ustaz Takdir, watak lakonan Zahiril Adzim menerusi drama terbaharu Astro, Bapa Mentuaku Mafia.
Takdir ialah ustaz muda berpengaruh yang sentiasa berpegang pada prinsip hidup sederhana.
Namun, kehidupannya berubah 180 darjah apabila dia tiba-tiba diculik sebelum dipaksa berkahwin dengan Melissa (Siti Hariesa), anak perempuan kepada ketua mafia berpengaruh bernama Zack (Razak Ahmad).
Baca Artikel Lain;
Apa yang lebih menarik, perkahwinan tersebut bukan sekadar penyatuan dua individu, tetapi dikatakan sebagai usaha untuk ‘membersihkan’ masa silam keluarga mafia itu sendiri.
Daripada seorang lelaki yang hidupnya tenang, Takdir kini perlu menyesuaikan diri dalam dunia baharu yang penuh rahsia, tekanan serta konflik keluarga, sambil cuba mempertahankan prinsip hidup dan nilai agama yang dipegangnya selama ini.
Menariknya, meskipun membawa elemen dakwah, drama ini tidak tampil terlalu ‘berat’ atau bersifat menghakimi.
Sebaliknya, mesej yang ingin disampaikan diterapkan secara lembut menerusi jalan cerita yang ringan dan mudah didekati penonton.
Selain itu, gabungan elemen komedi kekeluargaan, hubungan suami isteri, konflik mertua serta sisi kehidupan keluarga mafia yang tidak terlalu gelap menjadikan drama ini sesuai ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dengan gabungan elemen romantik, kekeluargaan, komedi serta pengajaran yang disampaikan secara santai, Bapa Mentuaku Mafia dilihat berpotensi menjadi antara drama hiburan yang mampu mencuit hati penonton sambil menyampaikan nilai positif menerusi penceritaannya.
Selain Zahiril, drama ini turut dibintangi Razak Ahmad, Siti Hariesa, Auni Yusri, Shweta Sekhon dan Nafiez Zaidi.
Bapa Mentuaku Mafia sudah mula ditayangkan bermula 13 Mei, pada setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam dan boleh distrim menerusi platform Astro One dan sooka.